ADALAH rahsia umum bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir tidak menyenangi Datuk Johari Baharom, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu yang telah menyebabkan kegagalannya untuk mewakili UMNO bahagian itu ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.Namun kenyataan beliau di Kedah baru-baru ini membuktikan bahawa Mahathir tidak menyimpan dendam, mementingkan perasaan atau sentimennya demi pemulihan UMNO dan kuasa BN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.
Mengulas tentang ketidakhadiran Johari dalam pertemuannya dengan penyokong UMNO di Kedah baru-baru ini, Mahathir berkata: "Johari tidak begitu suka saya, saya juga tidak begitu suka dia, tetapi sekiranya dia dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya kelak, saya tetap akan mengundinya."
Kenyataan ini merupakan mesej Mahathir kepada seluruh orang Melayu terutamanya ahli UMNO supaya mengambil sikap yang sama apabila parti telah membuat keputusan mengenai calon yang bertanding di kawasan mereka, sama ada mereka suka atau tidak. Soal calon itu bukan Ketua Bahagian UMNO atau bukan pilihan UMNO setempat tidak lagi boleh dipersoalkan sebaliknya keyakinan sepenuhnya mesti ada di kalangan pengundi di sesuatu kawasan di peringkat negeri atau Parlimen bahawa calon yang diletakkan adalah calon terbaik yang ditentukan oleh Presiden Parti UMNO.
Jika ada sikap kepartian orang Melayu dan UMNO maka pastinya percubaan untuk menggunting dalam lipatan atau calon tidak terpilih yang mencabar calon pilihan raya parti akan dapat dikalahkan dan setiap calon yang diletakkan sebagai berpotensi menang akan pasti menang. Jika orang Melayu hendak mengembalikan kuasa Melayu maka mereka mestilah menentukan untuk memilih parti dan bukan calon dalam pilihan raya umum kali ini.
Sikap ini pastinya akan dapat menggulingkan kerajaan Pas di Kedah yang bukan sahaja telah membawa banyak kesusahan kepada orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. (ZAM Putrajaya)
UNTUK RENUNGAN:-
Tulisan di atas adalah tulisan Zam Maidin yang dipetik dari Utusan Malaysia 28/5/2012. Inilah sikap manusia apabila sudah terantuk baru tengadah. Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak cakap padah akibatnya.
Semasa PRU12 yang lepas Che Det menghentam Pak Lah sampai tersungkur. Empat negeri jatuh ke tangan pembangkang angkara Che Det marah kepada Pak Lah dan terus keluar UMNO. Malah sehingga hari ini Che Det tak habis-habis menghina kepimpinan Pak Lah dalam ucapannya baik di mana-mana sahaja.
Hari ini Che Det dah sedar, beliau telah bertaubat. Kalaulah dari dahulu beliau sedar seperti kenyataan beliau di atas, tidaklah Anwar Ibrahim naik tocang seperti hari ini. Hari ini Kerajaan BN amat lemah sehingga Najib terpaksa bergolok bergadai untuk menawan hati rakyat sebagai persediaan untuk memenangi 2/3 kerusi PRU13 yang akan datang.
Hakikatnya pengundi hari ini telah cerdik, zaman meletak tongkol kayu sebagai calun BN sudah berakhir. Mereka ingin melihat calun yang bersih dan tidak korup. Kalau dicalunkan juga Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang menang secara korup ‘tobat lahum’ kata orang Kedah mereka akan kalah terkangang dalam gelanggang.