Friday, March 1, 2013

BELAJARLAH PERISTIWA LAHAD DATU


Oleh Ibrahim Yahaya
KUALA LUMPUR : Terlebih dulu, ucapan Al-fatihah kepada perwira yang terkorban di Lahad Datu hari ini. Semoga roh pejuang ini ditempatkan bersama roh orang soleh dan salam takziah kepada keluarga pejuang yang sudah pasti merasai kehilangan orang tersayang. 
Peristiwa Lahad Datu ini sudah pasti akan membuka mata dan minda kita mengenai betapa mudahnya negara ini diceroboh oleh orang luar. Ini kerana sebagai sebuah semenanjung amat sukar untuk kita menjaga setiap inci pesisir pantai kita tambahan pula negara ini sudah menjadi 'gula' yang menarik banyak 'semut' ke sini termasuk kedatangan orang Myanmar ke Pulau Langkawi. 
Jika kita menempatkan semua perwira negara menjaga pesisir pantai negara, ia tidak juga akan menyelesaikan masalah ini tambahan pula ada tempat yang terlalu dekat sehinggakan kita tidak dapat membezakan antara orang kita dengan penceroboh. Antara tempat itu ialah Golok dan Lahad Datu. Selain itu, kegiatan dalang tempatan yang membawa masuk PATI turut menyumbang kepada kebanjiran orang luar di negara ini. Apatah lagi jika ada pemimpin tertentu yang dikatakan oleh media Filipina terbabit dalam kejadian di Lahad Datu. Penduduk Sulu dikatakan sering berulang-alik ke Lahad Datu sama ada untuk mendapatkan bekalan atau bertemu dengan sanak-saudara mereka di sini. 
Sudah tentulah sebelum ini perjalanan mereka tidaklah sukar sangat kerana sifat mereka yang tidak menunjukkan sebarang reaksi yang boleh mengganggu keselamatan negara. Apatah lagi yang datang ialah orang tua, wanita dan kanak-kanak. 
Sebelum sebarang penjelasan diberikan oleh kerajaan bagaimana kumpulan penceroboh itu boleh masuk ke negara ini, sudah tentulah 'suasana' yang disebut di atas tadi, pasti tidak terlintas oleh mana-mana pihak ada golongan yang akan berani membuat 'kacau' seperti yang berlaku pada 12 Februari lalu. Ia mungkin didorong atau terdorong. Apabila penceroboh itu 'sudah berada' di negara ini dengan jumlah yang ramai iaitu dikatakan 180 orang termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, persoalannya ialah apakah strategi yang terbaik untuk menyelesaikan isu pencerobohan ini? Sudah tentu pihak keselamatan memikirkan kaedah berperang bukanlah satu strategi yang baik, walaupun ada pihak yang mungkin mahu ia berlaku, sebalik memikirkan pendekatan perundingan yang boleh mendatangkan keadaan 'tepung tidak berselerak selepas rambut ditarik.' 
Tidak hairanlah selama lebih dua minggu usaha untuk berunding dan terus mengepung dilaksanakan berbanding tindakan menyerang penceroboh itu yang mahu mengaku bahawa Sabah adalah tanah mereka sedangkan mereka tahu bahawa itu tidak mungkin berlaku pada masa sekarang.
Akhirnya, hari ini pada 1 Mac penceroboh dikatakan mengambil sikap menyerang pejuang negara sehingga menyebabkan tiga terbunuh (sehingga berita ini ditulis) dan 12 orang penceroboh terbunuh seperti yang dilaporkan oleh media elektronik malam ini. Sudah sampai masanya untuk memastikan urusan kemasukan ke negara ini diperketatkan tidak kira yang mahu masuk itu orang tua, kanak-kanak atau wanita. 
Asalkan mereka bukan rakyat negara ini harus dihantar pulang atau ditangkap untuk ditempatkan di pusat tahanan. Penulis yang pernah mencari kapal muhibah (yang membawa penduduk Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya) dikatakan tenggelam di perairan Johor pernah ditahan oleh Kastam Indonesia kerana termasuk sedikit ke kawasan mereka. Setelah diminta naik ke kapal dan penulis menjelaskan perkara itu, kami (bersama jurugambar Ridzuan) dilepaskan. Itu baru masuk sedikit ke perairan Indonesia sudah ditahan dan sudah tentulah jika ada yang sudah berada di pantai kita dan tidak mempunyai surat yang sah, perlu ditahan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Semoga kerajaan dapat menyelesaikan isu di Lahad Datu seterusnya dan bukan saja rakyat negara ini sedang memerhati malah seluruh dunia pasti mahu menunggu berakhirnya peristiwa bersejarah yang turut diulas oleh ahli politik setengah masak yang mengatakan ia dilakukan oleh parti tertentu dan ada juga pemimpin pembangkang yang suka menyemaikan perasaan benci kepada kerajaan menyatakan kejadian polis terbunuh tidak patut berlaku.

KOMEN
Terlintas ingatan MR semasa pertemuan dengan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan yang menyatakan beliau pernah bertegas untuk mengekalkan unit Polis Marin di bawah PDRM.
Beliau dengan nada keciwa melihat peranan Polis Marin telah dikecilkan dan ternyata telah banyak berlaku penyeludupan. 
Kini peranan Polis Marin telah dipertanggung jawabkan di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)yang telah menjadi telalu besar sehingga hilang fokus untuk membuat rondaan persisiran pantai mengawal keselamatan negara dari diceroboh.


4 comments:

  1. Wajarkah Polis Marin diketepi?

    Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan akan menyerapkan aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk mengelak pertindihan pelaksanaan tugas dan untuk menjadikan APMM sebagai agensi maritim yang tunggal, amat mengelirukan.

    APMM hanya ditubuhkan dalam tahun 2005 sebagai agensi maritim ala Coast Guard (Pengawal Pantai) seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang tidak mempunyai polis kebangsaan.

    Justeru bagaimana sebuah badan penguatkuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru sahaja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin, yang telah wujud lebih dari 60 tahun? Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.

    Polis Marin bukan sahaja di antara beberapa cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi adalah keperluan operasional PDRM untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 Akta Polis 1967.

    Polis Marin sedia mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penugasannya. Ini sehaluan dengan matlamat PDRM ia itu mengesan, menyiasat kejadian kejadian jenayah, mengawal dan menjaga ketenteraman awam, menangkap dan mendakwa pesalah di bawah undang undang yang memberinya kuasa, mencari dan mendapatkan bahan-bahan risikan mengenai ancaman kepada keselamatan negara.

    Jika penyerapan ini berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian daripada cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan kekesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.

    APMM berasaskan ketenteraan laut, walhal Polis Marin penugasan kepolisan. Kedua-dua tugas ini jauh berbeza dan boleh juga bercanggah antara satu sama lain. Begitu juga akan berlaku kepada pegawai dan anggota, khususnya APMM yang berasal dari Tentera Laut.

    Jenayah yang berlaku di laut sering bermula dan berakhir di darat. Bagi Polis Marin, mereka adalah sebahagian daripada PDRM dan mudah mendapat maklumat serta pelbagai kerjasama daripada rakan rakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan di balai-balai polis.

    APMM akan mengambil masa lama bukan sahaja untuk memahami selok belok perlakuan jenayah yang menggunakan laut sebagai kawasan kegiatan mereka, tetapi juga akan mengambil lebih lama dalam mengumpul data dan pengalaman bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang baru dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    PDRM masih memerlukan satu cawangan untuk penugasan di perairan. Jika aset mereka diserapkan kepada APMM, PDRM mungkin akan mencari dan mendapatkan aset serta keanggotaan baru. Sudah tentu ini semua akan menimbulkan kesulitan dan merumitkan segala usaha untuk mencegah jenayah, apatah lagi dalam mengawal ancaman kepada keselamatan negara.

    Perlukah membuat perubahan yang tidak akan menguntungkan? Jika penyerapan yang dicadangkan ini adalah dari satu pasukan yang kurang mantap kepada yang lebih mantap, sudah tentu satu perkara yang baik. Tetapi APMM tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam pengawasan, pengawalan dan pencegahan jenayah dan tidak mempunyai back-up yang matang.

    Diharap pucuk kepimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negari prihatin dengan senario pengawalan jenayah pelbagai bentuk dari pandangan yang lebih luas. Ini kerana kemungkinan akan timbul kesan negatif.

    Seperti yang dijelaskan ketika ditubuhkan, APMM seharusnya bertanggung jawab di kawasan perairan melebehi 12 batu dari pantai. Tidak perlu mengganggu pelaksanaan tugas dan tanggung jawab PDRM, sebaliknya ia wajar lebih diperkemaskan. Negara masih memerlukan Polis Marin.

    Perbesarkanlah APMM tetapi jangan sentuh hak PDRM. Wujudkan sistem kerjasama ke arah pencapaian hasil kerja yang lebih bermakna.

    Zulkifli Abdul Rahman

    Shah Alam, Selangor

    Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz2MIoSTLYl
    © Utusan Melayu (M) Bhd

    ReplyDelete
  2. MR.
    Takziah dan Al Fatihah pada tiga perwira negara yang gugur.Yang cedera semoga ceoat sembuh.

    Menteri di KDN ini kenalah cari yang matang,tegas,ada wibawa.KDN bukan macam Kementerian Kebajikan Masyarakat atau Pelancungan.
    Sedih kerana sudah sah mereka penceroboh dan musuh negara kenapa berlembut lagi.
    Pegawai atas PDRM pun kenalah yang tegas dan pengalaman atasi krisis jenayah negara.Bukan kroni siapa-siapa.
    Jawatan kanan dalam politik atau beradik-beradik ada kaitan keluarga bukan lah tiket untk jadi penaraju KDN yang makin mencabar.

    Kerjaan juga kenalah jaga balu dan anak yatim perwira negara ini secukupnya..

    ReplyDelete
  3. Beratnya tanggungjawab tentera marin kita...moga isu ini dapat diselesaikan dgn cepat dan selamat

    ReplyDelete
  4. kami orang Indonesia tidak pernah Kompromi terhadap orang-orang yang ingin masuk apalagi ingin menduduki Negara Kami, Negara Kesatuan Republik Indonesia adalah harga Mati bagi kami bangsanya.....

    ReplyDelete

Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.