Semalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Kedah (PERKASA) telah mengadakan perarakan besar demonstrasi mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin. Ribuan yang hadzir telah mengadakan demontrasi aman di hadapan Mesjid Zahir bagi menyokong Gaza dan mengecam kekejaman Israel.
PERKASA Kedah nampaknya tidak luntur dan masih kekal momentum perjuangannya. Sejak dari awal gerakan menakluk negeri Kedah dari tangan PKR sehingga kini terbukti mereka masih konsisten dan tidak berganjak. Mereka lebih prihatin, sensitif dan mendahului khasnya isu-isu yang bersabit dengan hak Melayu, Raja-Raja dan agama Islam. Ini yang UMNO Kedah gagal dan kelihatan masih lagi tidak berubah.
Seharusnya UMNO Kedah melalui kepimpinan pengerusinya Mukhriz Mahathir bijak menunjang isu-isu global seperti ini tetapi ternyata pancaindera mereka kematu untuk menjadi ‘champion’ di dalam perjuangan ini. Malah Mukhriz sendiri hanya turun sekejap kerana kesibukan dan kalut dengan jadual yang diatur oleh orang-orang sekelilingnya.
Ini berlainan dengan pendekatan Khairy Jamaludin yang bijak mengambil kesempatan apabila beliau menyertai demonstrasi mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin ketika berada di UK baru-baru ini. KJ sempat singgah di London ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland bagi menyertai kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel 2014. Di atas kapasiti Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah bersama-sama masyarakat di sana dalam satu himpunan yang besar dan beliau telah ‘share’ dalam FBnya dengan generasi media sosial di tanah air.
Akhir-akhir ini terdapat beberapa komen pemerhati menyatakan Mukhriz masih ‘lost’ dan tidak terbukti kewibawaan mengemudi UMNO Kedah yang masih simpang kelewang. Ini bakal menghanyutkan bahtera politik Mukhriz dilambung gelombang jauh berbanding dengan KJ yang sentiasa kelihatan konsisten, bijak dan terancang.
Difahamkan ramai soldadu-soldadu tegar yang menaikkan beliau semasa meragas tangga politik di Kedah dahulu kini telah lari, kecewa dan membawa haluan masing-masing. Mereka meluat kerana orang-orang baru sekeliling Mukhriz telah membina tembok besar sehingga mereka terpaksa melalui saringan yang ketat, padad dan sendad. Mereka ini sebenarnya tidak faham adalah kebiasaan di dalam UMNO, "habis manis sepah dibuang". "Biasa la Bro..." kata seorang rakan.
Hakikatnya Mukhriz kelihatan bersungguh-sungguh bekerja di kampung untuk menghakis status elitisnya manakala KJ dilihat lebih global dan berketrampilan khasnya semasa mengiringi Obama ketika lawatan rasmi Presiden AS itu ke Malaysia baru-baru ini.
Kegagalan percubaan pertama Mukhriz bertarung sebagai Naib Presiden UMNO yang lepas nampaknya tidak diambil sebagai iktibar dan tidak mustahil Mukhriz akan terus hanyut hilang dilambung gelombang badai politik UMNO yang ganas. Berbinkan Mahathir bukan jaminan lagi.