Suasana tidak diduga telah mempertemukan saya dengan dua karyawan persuratan di dalam bidang masing-masing. Ibrahim Yahaya seorang wartawan seumur hidup baru sahaja kering mencetak novel sulung beliau ‘YB Beruk’ manakala seorang lagi sasterawan Dr Ibrahim Ghaffar pula sedang dilanda saman oleh kerana penulisan puisinya ‘Ratu Anjing’.
‘YB Beruk’ adalah novel kritikan sosial yang sungguh mengilu memaparkan masyarakat manusia yang kadangkala lebih teruk dari masyarakat beruk.
Kemusnahan alam kediaman beruk telah mengubah habitat kehidupan seharian masyarakat beruk sehingga memaksa beruk-beruk menyelongkar kediaman manusia untuk hidup.
Novel ini dijangka menyengat pasaran novel penggal 2008-2012 kepada mereka yang ingin berfikir.
Gaya persembahan novel ini mengingatkan saya kepada gaya penulisan Ishak Hj Muhammad @ Pak Sako dalam novelnya Anak Mat Lela Gila yang sarat dengan sindiran tajam politik sosial.
Seharusnya untuk mereka yang gemar berfikir mendapatkan novel ini terus dari penulisnya Ibrahim Tiger – 019-2125521 atau 019-3389003.
Manakala puisi ‘Ratu Anjing’ pula dikira karya agung dunia persuratan penggal ini kerana nilai samannya berjumlah RM30juta yang di saman oleh seorang YB.
MR harap Dr Ibrahim berhati-hati agar tidak termasuk di dalam perangkap seperti apa yang berlaku kepada cerpen YBJ karya Chamil Wariya.
Di bawah disiarkan puisi yang bernilai RM30 juta:-
RATU ANJING; YANG MELENGKING ITU
-
(Panggak Binasa Terlajak Kata)
I
Ratu anjing itu pun melengking, menyalak galak mengasah taring,
setelah lepas tersepit pengancing, lalu keluar dari akal yang sinting,
munci; Wajah yang sering berpaling dan sanggah yang polang-poling
menunjuk telunjuk berkait kelinking.
Makhluk juga; Takdirnya dia ... anjing
tabiat 'bagai melihat bayang di air yang bening'.
II
Masyarakat anjing itu pun riuh menyambut pulang seorang tokoh
dari paksina kedaksina gamat gemuruh menggoncang tulang-tulang tanpa roh
pameo pusaka dari benua jauh, panggak yang terlanjur angkuh,
alibi 'telur tembelang' di hari ketujuh, telah jatuh ke wajah ratu yang selingkuh
menggadaikan kabilah mudah diperbodoh
III
Suci suatu subuh itu terganggu, salak anjing antara azan yang syahdu
melihat kelibat siluman dan hantu, tawakal muazin menuju nawaitu
tertip titipan taqwa pada yang satu
biarkan ratu anjing itu menyalak waktu, bukit bukau tetap jitu
gunung-ganang tetap padu, manusia perlu berakal dan berilmu
IV
Alam maya bukan mutlak milik kita
dipinjamkan cuma sementara
dipentas ini kesempatan bersama
berjuta makhluk berbagai rupa
ketentuan anjing-anjing juga ada
V
Kok anjing biar menyalak
kok bukit diar berpuncak
kok terasa menyelar bijak
bumi juga tempat berpijak
padah kata bila kata terlajak
(Dr Ibrahim Ghaffar, Bukit Kapar
Selangor. 22 September 2008)
Petikan dari Utusan Malaysia 16 Oktober 2008