Tuesday, May 29, 2012

Mahathir dah sedar tetapi semuanya dah terlambat

ADALAH rahsia umum bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir tidak menyenangi Datuk Johari Baharom, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu yang telah menyebabkan kegagalannya untuk mewakili UMNO bahagian itu ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.Namun kenyataan beliau di Kedah baru-baru ini membuktikan bahawa Mahathir tidak menyimpan dendam, mementingkan perasaan atau sentimennya demi pemulihan UMNO dan kuasa BN menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.
Mengulas tentang ketidakhadiran Johari dalam pertemuannya dengan penyokong UMNO di Kedah baru-baru ini, Mahathir berkata: "Johari tidak begitu suka saya, saya juga tidak begitu suka dia, tetapi sekiranya dia dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya kelak, saya tetap akan mengundinya."
Kenyataan ini merupakan mesej Mahathir kepada seluruh orang Melayu terutamanya ahli UMNO supaya mengambil sikap yang sama apabila parti telah membuat keputusan mengenai calon yang bertanding di kawasan mereka, sama ada mereka suka atau tidak. Soal calon itu bukan Ketua Bahagian UMNO atau bukan pilihan UMNO setempat tidak lagi boleh dipersoalkan sebaliknya keyakinan sepenuhnya mesti ada di kalangan pengundi di sesuatu kawasan di peringkat negeri atau Parlimen bahawa calon yang diletakkan adalah calon terbaik yang ditentukan oleh Presiden Parti UMNO.
Jika ada sikap kepartian orang Melayu dan UMNO maka pastinya percubaan untuk menggunting dalam lipatan atau calon tidak terpilih yang mencabar calon pilihan raya parti akan dapat dikalahkan dan setiap calon yang diletakkan sebagai berpotensi menang akan pasti menang. Jika orang Melayu hendak mengembalikan kuasa Melayu maka mereka mestilah menentukan untuk memilih parti dan bukan calon dalam pilihan raya umum kali ini.
Sikap ini pastinya akan dapat menggulingkan kerajaan Pas di Kedah yang bukan sahaja telah membawa banyak kesusahan kepada orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. (ZAM Putrajaya)
UNTUK RENUNGAN:-
Tulisan di atas adalah tulisan Zam Maidin yang dipetik dari Utusan Malaysia 28/5/2012. Inilah sikap manusia apabila sudah terantuk baru tengadah. Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak cakap padah akibatnya.
Semasa PRU12 yang lepas Che Det menghentam Pak Lah sampai tersungkur. Empat negeri jatuh ke tangan pembangkang angkara Che Det marah kepada Pak Lah dan terus keluar UMNO. Malah sehingga hari ini Che Det tak habis-habis menghina kepimpinan Pak Lah dalam ucapannya baik di mana-mana sahaja.
Hari ini Che Det dah sedar, beliau telah bertaubat. Kalaulah dari dahulu beliau sedar seperti kenyataan beliau di atas, tidaklah Anwar Ibrahim naik tocang seperti hari ini. Hari ini Kerajaan BN amat lemah sehingga Najib terpaksa bergolok bergadai untuk menawan hati rakyat sebagai persediaan untuk memenangi 2/3 kerusi PRU13 yang akan datang.
Hakikatnya pengundi hari ini telah cerdik, zaman meletak tongkol kayu sebagai calun BN sudah berakhir. Mereka ingin melihat calun yang bersih dan tidak korup. Kalau dicalunkan juga Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang menang secara korup ‘tobat lahum’ kata orang Kedah mereka akan kalah terkangang dalam gelanggang.

Monday, May 28, 2012

Tak habis-habis MAS di "bail out" lagi

Menteri Kewangan Kedua Datuk Husni Hanazlah berkata kementerian beliau akan memantau prestasi MAS supaya tidak rugi lagi.

Beginilah kenyataan berulang-ulang kali setiap Menteri Kewangan dari Tun Daim , Pak Lah sehingga Najib. Tetapi MAS tetap rugi hanya produk yang MAS lahirkan ialah seorang menteri cabinet yang bernama Idris Jala.


Jika zaman pemerintahan Mahathir dulu kerap didengari perkataan ‘bail out’ seperti bertih goreng sana sini,  apakah hari ini MAS masih perlu di‘bail out’?.

Friday, May 25, 2012

Dewan Pemuda PAS kata Zam Maidin geli nak jadi calun

Apabila Zam Bekas Menteri Penerangan yang sekarang menjawat sebagai Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Mahathir UUM menulis dalam Utusan Malaysia “Perpaduan PAS-UMNO cerita karut” dan menyatakan bahawa perpaduan Melayu hanya akan wujud apabila PAS dilumpuhkan dan inilah masa nya PAS dimusnahkan kerana mereka sedang bergelut di dalam keruntuhan moral dan kekalutan politik.

Berhubung denga kenyataan itu Dewan Pemuda PAS melalui Ketua Penerangannya, Riduan Mat Nor telah menempelak bahawa kenyataan Zam itu lebih kepada kenyataan pemimpin yang tersisih untuk menarik perhatian pemimpin UMNO sebagai usaha untuk menjadi calun dalam plihanraya yang akan datang.

Dewan Pemuda PAS ternyata telah mencuit ‘soft spot’ Zam sehingga beliau melenting menyatakan Dewan Pemuda PAS tidak mengenali darah kewartawanan beliau yang ternyata lebih pekat mengatasi darah politik beliau.

Apapun untuk melihat kemusnahan PAS hampir mustahil selagi adanya UMNO kerana kekuatan PAS yang sebenarnya datang dari kelemahan UMNO sendiri. Hakikatnya PAS akan musnah apabila cita-cita Karpal Singh tercapai untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri negara ini. Mungkin ketika itu PM berserban tetapi bukan Islam.

Thursday, May 24, 2012

Muzakarah UMNO dan PAS siapa yang untung?

Pemerhatian tentang cadangan terkini berhubung muzaqarah UMNO dan PAS yang sebenarnya dibangkit kerana pakatan PAS dalam PKR telah berpekong. PAS telah menjadi mangsa buli yang teramat teruk. Menyedari ini maka initiatif muzakarah dibangkitkan kembali. Jika UMNO tidak menyahut cabaran ini PAS akan mengunakan modal UMNO MENOLAK PERPADUAN MELAYU DAN ISLAM dalam kempen PRU yang semakin hampir.


Hakikatnya PAS seharusnya bermuzakarah dahulu bersama DAP berhubung menegakkan hudud dan cita-cita Karpal Singh untuk meletakkan bukan Melayu sebagai PM.

UMNO sebenarnmya sedang berada pinggir perangkap PAS dan jika tidak bijak UMNO akan terperangkap. Ini tidak mustahil kerana UMNO sedang ‘desprate’ untuk terus berkuasa dan ada yang berpendapat UMNO dan PAS mesti bersatu untuk menegakkan Islam dan Melayu.

Umum mengetahui bahawa reality kekalahan UMNO dalam PRU12 yang lepas ialah kerana masaalah dalaman yang parah di kalangan orang-orang UMNO itu sendiri.

UMNO tidak harus terlepas pandang dalam hal ini. Hari ini UMNO seharusnya bertanya kepada diri sendiri apakah sudah selesai pergelutan dalaman mereka?

Masih terdapat Ketua-Ketua Bahagian UMNO di kawasan yang kalah yang lebih suka menjadi penyelaras Parlimen kerana dapat mengagih jutaan ringgit peruntukan Kerajaan Persekutuan tanpa berpeluh menghadapi untuk menang dalam pilihanraya.

Saturday, May 12, 2012

Perhimpunan UMNO di Bukit Jalil bukan penentu kemenangan dalam pilihanraya

Sambutan ulangtahun UMNO yang ke 66 di Stadium Bukit Jalil semalam ternyata berjaya membangkitkan suasana kekuatan UMNO terkini. Wajah-wajah anak muda, remaja dan belia yang cintakan keamanan dan kedamaian terpancar dengan serlah.

Ini berbeza dengan‘backdrop’ UMNO yang selama ini hanya mempamirkan perhimpunan agung UMNO dalam Dewan PWTC sahaja. Di mana rata-rata dihadiri perwakilan terpilih dari bahagian-bahagian yang wajahnya hanya tua-tua dan veteran politikus yang sama setiap tahun. Gambaran dan persepsi mereka yang diluar UMNO adalah UMNO parti tua yang balik-baliknya dikuasai wajah-wajah yang sama dan tidak berubah. Ternyata perhimpunan semalam menyaksikan sebaliknya.

Lebih kurang 10 minit mukadimah ucapan Presiden UMNO DS Najib menghentam Perhimpunan Bersih 3.0 yang berhimpun untuk mengulingkan Kerajaan atau dalam maksud yang lebih tepat untuk menggulingkan UMNO dan Barisan Nasional parti yang memerintah.

Apapun perhimpunan semalam bukan kayu pengukur atau gelombang yang akan menentukan kemenangan pilihanraya kepada BN kerana DS Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional harus mengadakan satu lagi perhimpunan dengan mengumpulkan seluruh ‘wajah-wajah’ parti komponen Barisan Nasional. Jika ini dapat dilakukan dengan kehadiran jutaan parti komponen barulah DS Najib boleh mengistiharkan tarikh pilihanraya.

Hakikatnya tidak kurang sedikit rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian kaum dalam negara ini menarik nafas lega bahawa negara ini masih berada di bawah kempimpinan yang waras, bijak dan tidak beremosi.