Friday, February 24, 2012

"Grand Design" untuk perjatuhkan MB Kedah. Sudah ada Kuasa Ketiga

Semenjak PAS menguasai beberapa Kerajaan negeri selepas PRU12 yang lepas seperti Perak, Selangor dan Kedah kemelut dalaman PAS yang paling ketara ialah apabila berlaku pemecatan Hasan Ali di Selangor atas desakan pakatan DAP dan Anwar Ibrahim.

Kini bahang yang terbaru ialah Negeri Kedah, dipermukaan dilihat seperti tidak ada apa-apa tetapi di bawah atau ’under current’nya hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa Ustaz Azizan, MB Kedah tidak dapat tidur nyenyak kerana tekanan-tekanan halus beberapa exco beliau sendiri hasil ‘grand design’ PAS pusat.

Kewibawaan Ustaz Azizan mengemudi Kerajaan Kedah dikira cukup cermat dan berhemah sehingga begitu sukar BN dan UMNO selaku pembangkang untuk menghentam beliau di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. BN dan UMNO seperti dikerat lidah mereka tidak berfakta untuk membelasah Ustaz Azizan dan semua serangan dijawab secara lembut dan pedas.

Sebaliknya apabila pembangkang begitu lemah di Kedah partinya sendiri menikam beliau dari belakang apabila 4 exco memboikot untuk dilantik sebagai exco.

Persoalannya apakah dengan pergolakan dahsyat ini PAS akan hilang pengaruhnya dan ‘milage’ politik akan beralih kepada BN dan UMNO? Percaturan secara cetek pemerhati politik akan melihat segala pergolakan ini banyak menguntungkan BN dan UMNO di dalam usaha untuk menawan kembali negeri Kedah.

Realitinya ini tidak berlaku kerana pergolakan di dalam UMNO sendiri masih tidak berkesudahan. Kepimpinan di dalamUMNO Kedah sendiri tidak berubah dan masih berada di dalam takuk lama. Rakyat Kedah tidak melihat satu keazaman yang kuat oleh Najib untuk mengubah UMNO Kedah. Perlantikan rakan seperjuangannya Ahmad Bashah Abu Hanipah sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri sudah cukup membawa imej UMNO Kedah sukar berubah. Rata-rata pengundi di atas pagar mengeluh “balik-balik tak ada muka lain muka-muka yang sudah basi itu juga ditayang berulang kali”.

Mendesak pengundi supaya jangan mengundi individu sebaliknya memilih parti atau Lambang, Logo atau Warna bukan lah desakan yang bijak di dalam kancah politik semasa (lihat Zam di Merbok). Pengundi tidak boleh menjadi hippokrate lagi dengan mengundi calun yang mereka tahu korup, sombong, ego dan mengamalkan ‘penindasan’ kepada rakyat yang tidak menyokong mereka. Calun yang berpura-pura baik, bersih dan maksum di sebalik lambang parti harus disingkir dan tidak diberi tempat kerana pengundi akan sengsara selama lima tahun atau satu penggal.

Saranan Najib ‘winable candidate’ perlu diperhalusi dengan jelas dan mengapa Najib tidak menyebut ‘winable party’? Ini kerana Najib sendiri sedar partinya begitu lemah. Beliau mewarisi parti yang amat lemah dari Pak Lah seperti kata-kata Che Det dalam perjumpaan tertutup Perkasa bahawa “Najib terpaksa melayan semua kehendak , to please everybody kerana Najib mewarisi Kerajaan Pak Lah yang amat lemah”.

Semalam Utusan Malaysia, tulisan Zaini Hasan (lihat CUIT, Zaini Hasan) mendedahkan satu lagi bentuk penindasan yang terancang oleh Jabatan Perkhidmatan Awam apabila skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam) cuba diperkenalkan yang lebih memperkayakan golongan birokrat atasan Gred Utama/ Khas C dengan cadangan kenaikan mereka sehingga 87% manakala golongan kakitangan bawahan hanya 7%.

Tindakan ini melemahkan lagi Kerajaan Najib dan secara langsung UMNO dan BN begitu mudah diperkotak-katikan oleh Pegawai-Pegawai atasan Kerajaan. Nasib baiklah adanya KUASA KETIGA seperti Cuepecs yang tampil menyuarakan isu ini dan menyelamatkan pengundi-pengundi di kalangan kakitangan bawahan. Jika skim ini terlepas dan Najib tunduk dengan skim yang tidak bertamadun ini maka BN dan UMNO akan kecundang ke dalam jurang tadahan Anwar Ibrahim.

Konklusinya sudah ada KUASA-KUASA KETIGA yang tidak kelihatan seperti CUEPECS, BLOGGERS, PERKASA, JATI, FACEBOOK dan lain-lain cuma mereka ini tidak kelihatan secara langsung.

Tuesday, February 21, 2012

Kedudukan Melayu hari ini seperti nyawa ikan.

Apa juga forum yang dianjurkan hari ini baik Perkasa, JATI atau mana NGO berteraskan Melayua dan Islam semuanya meluahkan kerisauan tentang survival Melayu dan Islam dalam Negara ini. Semalam dalam forum Perkasa bersama Tun M pun tidak sunyi kedengaran kegusaran tersebut.

Melayu semakin risau apabila mereka tidak menjadi tuan lagi dalam negara ini, dan bibit-bibit tersebut sudah mula nampak sedikit demi sedikit selepas PRU12 2008 yang lepas.
Untuk melihat survival Melayu pada masa hadapan seharusnya kita melihat bagaimana sikap dan ‘wajah’ generasi Melayu pada hari ini.

Mereka terpisah jauh dengan sejarah, mereka terpaksa bersaing untuk mendapat tempat di university, sebagai pelajar university khasnya pelajar-pelajar jurusan Islam emosi mereka mudah diusik dengan isu-isu jangka pendek, mereka bergelumang dengan hutang PTPTN, mereka dijanjikan oleh Kerajaan pinjaman untuk belia berniaga tetapi realitinya jauh dari nyata, masa mereka lebih tertumpu dengan Facebook dan kurang bermasyarakat, politik bagi mereka adalah pemainan kotor seperti najis, mereka terhibur dengan rancangan-rancangan realiti TV, itulah generasi Melayu hari ini.

Apa pun hari ini adalah pelancaran JATI oleh Hasan Ali, satu lagi NGO non-politik yang ingin berjuang menegakan Islam, Melayu dan Raja.

Berbagai penawar cuba diubati Melayu yang sedang sakit dan koyak rabak ini kesan dari Pak Lah dan menantunya KJ, sama-sama lah kita bergerak atau yang ingin menunggu, tunggulah apa akan jadi PRU13 nanti.

Sunday, February 12, 2012

PAS Kedah bunuh parasit

PAS Kedah berdiri teguh di belakang MB Ustaz Azizan Razak dan memberi amaran kepada pemimpin pusat PKR supaya tidak mencampuri urusan dalaman Kerajaan PAS Kedah di dalam beberapa isu terkini di negeri Kedah khasnya isu AUKU 1971.

Nampaknya PAS Kedah telah berjaya menghidu parasit PKR yang mula menggerodak sedikit demi sedikit dan akan membangkai jika tidak dibunuh seperti apa yang berlaku di Selangor.

Ternyata walaupun Hasan Ali belum memulakan ‘roadshow’nya di Kedah tetapi mesejnya lebih awal sampai dan PAS pusat tidak harus memperkecilkan pengaruh Hasan Ali yang ikhlas mendedahkan pekong PAS kepada rakyat sejagat.

Kerja-kerja kotor parasit ini termasuk mendesak Ustaz Azizan melepaskan jawatan MB Kedah dengan berbagai cara halus termasuk menyentuh kesihatan Ustaz Azizan tak ubah seperti cacing kerawit menggerobek ponggong.

Apa yang lebih menarik lagi PKR Kedah melalui Pengerusinya Datuk Wan Salleh Wan Isa dengan pendirian yang tegas menyatakan kepada media sokongan kepada Ustaz Azizan dan mereka tidak langsung terbabit dalam konspirasi mahu menyinggkirkan Ustaz Azizan.

Apa juga kemelut dalaman pembangkang di Kedah ia masih tidak menguntungkan BN dan UMNO untuk kembali menawan Kedah kerana konflik dalaman UMNO masih membengkak. Golongan muda masih terpisah jauh dengan UMNO kerana Pemuda-Pemuda UMNO sedang mencanak gila untuk menjadi calun manakala pendekatan isu-isu anak muda masih dalam fantasi.

Kata seorang pemuda kepada MR “Sampai bila tugas kami dalam pilihanraya hanya layak untuk menggantung poster?”

Saturday, February 11, 2012

Kenyataan Daim Zainudin sudah ketinggalan zaman

Wira anak lelaki Daim Zinudin
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Bendahari Umno selama 17 agak ketinggalan zaman apabila menyeru BN perlu mengambil inisiatif untuk mendekati golongan muda dalam menarik minat mereka kepada gabungan parti itu.

Beliau menyatakan pada majlis Tun Daim Bersama BN Lembah Pantai malam tadi yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai merangkap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mungkin Daim tidak mengikuti perkembangan dan initiative berterusan PM DS Najib yang bukan setakat mendekati malah bercampur bersama mereka melalui Facebook, Twitter, menonton perlawanan bolasepak dan banyak lagi program bersama anak-anak muda.

Najib amat menyedari hampir 40 peratus pengundi berdaftar negara ini dikategorikan sebagai golongan muda yang memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) untuk menentukan kemenangan seseorang calun.

Daim seharusnya sedar hakikatnya hari ini perjuangan anak muda telah didahului kejuaraannya oleh PKR dan DAP seperti isu AUKU dan PTPTN. Berapa ramai pemimjam PTPTN di kalangan anak muda yang kantoi dengan tekanan muflis dan ‘underpaid’ walaupun bekerja siang malam kerana pekerjaan yang mereka perolehi bukan melalui ijazah yang mereka dapat tetapi melalui sijil SPM dan STP.

Pinjaman PTPTN yang mereka pinjam untuk mendapatkan ijazah tidak mendatangkan pulangan atau ‘Return On Investment’ yang setimpal untuk mereka mampu membayar pinjaman mereka.

Isu-isu yang sebegini telah dijuarai oleh Anwar Ibrahim walaupun mereka tahu Anwar Ibrahim bergelumang dengan najis sex tetapi itu semua menjadi ‘priority’ yang terakhir kerana ‘priority’ utama mereka ialah ‘survival’ untuk hidup dan makan minum hari ini.

Tindakan-tindakan tegas kepada peminjam PTPTN di lihat di antara dasar-dasar Kerajaan Najib yang .memberii tekanan kepada golongan muda yang masih terumbang-ambing mencari sesuap nasi manakala di sebelah pihak lagi seperti Pemuda UMNO, Puteri UMNO dan anak-anak pembesar negara bergentayangan dengan kemewahan dan elitis.

Monday, February 6, 2012

Suami Shahrizat dan suami Zarinah Anwar

Akibat tekanan kerana penglibatan suaminya Tan Sri Zarinah Anwar, dilaporkan akan melepaskan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada bulan hadapan.

Suaminya, Azizan Rahman yang merupakan pengerusi E & O, telah membeli saham E & O beberapa hari sebelum pengumuman pembelian oleh Sime Darby dilihat sebagai aktiviti ‘insider trading’.

Dalam perkembangan yang sama juga Shahrizat Jalil sedang bergelumang dengan isu NFC kerana penglibatan suaminya, Datuk Mohammad Salleh Ismail sebagai Pengerusi NFCorp.

Inilah akibatnya apabila suami-suami mereka ini memegang 'remote control' dan bukan sedikit kes-kes yang sebegini khasnya dalam GLC-GLC sekarang.

Kata Sharizat di Beruas, Perak pada 5/2/2012 baru-baru ini bahawa 1.3 juta wanita UMNO adalah di belakang beliau dan akan terus menyokong beliau.

Sejauh mana kebenaran kenyataan Shahrizat yang menyatakan 1.3 juta wanita menyokong beliau harus disiasat kesasihannya supaya wanita-wanita ini tidak dilembukan dan dicucuk hidung mereka oleh Shahrizat.

Apa pun di dalam menghadapi PRU13 yang dikira seperti telur di hujung tanduk kepada UMNO dan BN Shahrizat harus akur dengan seruan mentornya Rafidah Aziz supaya beliau melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan dan parti.

Jika tidak jenuhlah wanita-wanita UMNO akan berhadapan dengan lembu-lembu PKR, PAS dan DAP yang lebih ganas dan sukar dikawal hendaknya apabila melihat kain-kain merah wanita UMNO.