PETALING JAYA: Tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan enggan bersemuka dengan Adlin Aman Ramli ekoran rasa kurang senang pelakon itu terhadapnya selepas dikritik hebat sepanjang program Maharaja Lawak Mega (MLM) berlangsung.
Chef Wan berkata, tidak ada keperluan untuk menjernihkan keadaan selepas Adlin yang tersingkir daripada MLM pada minggu lepas, melancarkan 'perang status' di laman sosial Facebook.
"Saya tak akan merendahkan martabat diri saya sepertinya (Adlin) iaitu orang yang tidak matang. Lagipun, siapa dia untuk saya pergi berjumpa?," soalnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.'Perang Facebook' yang dilancarkan Adlin pada Ahad lalu bermula apabila dia bengang dengan komen negatif dalam entri Facebook Chef Wan selain sering menerima kritikan pedas sewaktu melakukan persembahan di MLM.
Dalam entri tersebut, Chef Wan menyifatkan Adlin sebagai kurang sopan kerana pernah mempersendakan arwah bapanya sendiri iaitu pelakon A.R Tompel dalam persembahan yang dibawakan.
Adlin pula menolak dakwaan tersebut dan menganggap Chef Wan tidak faham dengan lawak yang dipersembahkan.
Bagaimanapun kata Chef Wan, sepatutnya Adlin yang mempunyai pengalaman sebagai juri program Akademi Fantasia (AF) tidak perlu melatah tentang komen yang diberikannya memandangkan dia juga seorang juri yang 'bermulut pedas'.
"Dia kritik orang boleh, tetapi tidak boleh pula terima kritikan orang. Karakternya sudah cukup menunjukkan dirinya yang sebenar.
"Sebagai seorang selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai, dia perlu menunjukkan persembahan lawak yang positif dan secara amnya tidak membabitkan isu-isu keluarga, agama atau persendakan orang.
"Perlukah kita yang mempunyai adat dan budaya sopan yang tinggi mengikuti pelawak-pelawak Barat yang juga mampu membogelkan diri mereka untuk dijadikan bahan lawak? Pada pendapat saya, mana yang baik, kita ambil, yang buruk pula kita abaikan," tegas bapa kepada dua orang anak ini.
Sementara itu, Chef Wan telah menerima Anugerah Khas Menteri Pelancongan pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, Selasa.
Katanya, ia merupakan penghormatan yang amat bermakna setelah 25 tahun memberi komitmen sepenuhnya dalam memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia.
"Terasa segala usaha, komitmen dan pengorbanan yang diberi dalam kerjaya ini berbaloi. Pengiktirafan yang diberikan memberikan semangat lebih untuk memperkenalkan masakan Malaysia kepada dunia," kata Chef Wan yang akan sibuk pada tahun depan mengendalikan beberapa program masakan di beberapa saluran televisyen.
Selain Chef Wan, pereka kasut terkenal Datuk Jimmy Choo turut menerima anugerah khas tersebut. (mStar online)
No comments:
Post a Comment
Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.