Wednesday, January 30, 2013

KEMELUT UMNO KEDAH- NAJIB USAH BUTA DAN TULI

Datuk Ahmad Bashah               Fail - MI
PRU 13 sudah hampir. Bila-bila masa dari sekarang Parlimen boleh dibubar. Kalau diperumpamakan pisang ianya sudah tersangat ranum dan bila-bila masa boleh diramas-ramas untuk dibuat cucor kodok.
Pengerusi BN negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dengan tegas memberi amaran pemimpin bahagian, cawangan dan Pusat Daerah Mengundi supaya berhenti mengadu domba, bercakaran dan berbalah sesama sendiri. 
Semua ini jelas membuktikan bahawa krisis dalaman bahagian-bahagian UMNO di Kedah masih berterusan, kritikal dan porak peranda. Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri masing-masing sedang memasang angan-angan bercita-cita tinggi untuk menjadi wakil rakyat. 
Mereka dibuai mabuk untuk berkuasa kerana ‘over confident’ bahawa PAS akan kalah dalam PRU13 nanti. Apa yang sedang berlaku cuba ditutup dari pegetahuan Presiden Parti DS Najib. Mereka akan berasak-asak mencium tangan DS Najib setiap kali lawatan DS Najib ke Kedah konon untuk tunjuk ‘everything is OK boss’. Tetapi semuanya ibarat bangkai gajah yang sudah tidak boleh ditudung lagi. Tudung kepala nampak kaki,tudung kaki nampak gigi. 
Menurut maklumat sahih masih terdapat bahagian UMNO di Kedah di mana perbalahan di antara Ketua Bahagian dengan Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Penerangan, Ketua Wanita, Ketua Puteri begitu parah sekali ‘bagai tongkang nak pecah’. Masing-masing mengheret penyokong masing-masing ke majlis anjuran masing-masing. Masing-masing mendabik dada masing-masing konon namanya akan diumum menjadi calun dan tidak dapat tidak semua mesti sokong beliau dari sekarang. 
Malah ada yang mendabik dada konon dialah yang bakal menjadi calun kerana kawan rapatnya adalah menteri kabinet yang disayangi presiden parti dan setiap majlis beliau dihurung seperti semut menghurung gula. Malah yang mengharubirukan lagi kedengaran kata-kata di belakang bahawa akan ada segelintir penyokong si anu bin si anu akan melancarkan boikot secara halus jika ketua mereka yang mereka tatang bagai ‘tokong hindu’ itu tidak disenarai sebagai calun PRU13 yang akan datang. Mereka lupa bila tongkang pecah kata Yus Jambu Maharajalawak Mega ‘apa pun tak dapat’. Ibarat peribahasa Melayu ‘Jong Pecah Yu Kenyang’.
Sinario hari ini, hakikatnya banyak aktiviti dan program yang dianjur oleh Bahagian-Bahagian UMNO di Kedah tidak mendapat sambutan langsung dan keseluruhan yang hadir hanyalah muka yang sama, kumpulan yang sama dan kelompok yang sama, bertepuk sorak syok sesama mereka sahaja. 
Menurut maklumat lagi untuk mengumpul 300 orang pun susah di dalam program ceramah yang dianjur UMNO. Malah di kalangan mereka sendiri pun ada yang tidak hadir kerana boikot dan tidak sebulu dengan jawatankuasa yang menganjurkan. Hanya apabila ada aktiviti yang melibatkan Presiden parti dan Timbalan Presiden parti maka berduyun-duyunlah rakyat hadir untuk mendengar apa pula pengumuman bantuan baru yang bakal digula-gulakan. 
Berbeza dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan NGO yang lebih mendapat sambutan dan ikhlas berjuang untuk agama Islam dan bangsa tanpa mengharapkan habuan. Tetapi yang menyedihkan aktiviti-aktiviti NGO ini seringkali dijauhi oleh kumpulan-kumpulan UMNO ini malah aktiviti mantan PM Tun Mahathir di Kedah pun mereka tidak hadir kerana Tun sudah tidak berkuasa lagi untuk mengumumkan gula-gula. Sebaiknya UMNO yang mendapat agihan peruntukkan yang banyak bagi menjalankan aktiviti harus menyokong usaha NGO-NGO ini. Mereka harus sedar segala aktiviti-aktiviti NGO yang mendedahkan kepincangan pembangkang ‘milage’ politik itu akhirnya adalah kepada parti UMNO dan memenangan untuk parti mereka juga.
Ramai yang meluahkan komen kata meraka kalau mengharapkan UMNO bergerak 'habuk pun tak ada', mereka masih tak habis-habis bertokak sesama sendiri. Sehinggakan isu kalimah Allah yang diperolok-olokkan dan dimanipulasikan oleh DAP pun mereka gagal menjadi juara untuk mempertahankannya. 
Yang sebenarnya hampir 80 peratus Bahagian UMNO di Kedah tidak membuat kerja hanya gila mengejar kuasa. Jika DS Najib hanya melihat pimpinan bahagian sebagai ‘winnable candidate’ bermakna DS Najib juga buta dan tuli.

Monday, January 28, 2013

NIK AZIZ SAMBUT HARI JADI YG KE 82 DI RUMAH KARPAL

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Al-Baqarah 2:120)

Sunday, January 27, 2013

JANGAN JADI KAFIR

Umat Islam Jadi Kafir Jika Biarkan Perbuatan Menyekutukan Allah - Harussani 

IPOH: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada Sabtu mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah. 
Beliau menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah.
"Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita. Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs Sdn Bhd di sini Sabtu.
Harussani berkata hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan. Justeru beliau meminta pihak berkenaan menghentikan cadangan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Melayu kerana ini akan mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.
Jika cadangan ini diteruskan, beliau bimbang akan menjejaskan keharmonian beragama serta perpaduan kaum di negara ini. BERNAMA

Thursday, January 24, 2013

CITA-CITA ALI RUSTAM YANG MASIH MEMBUAK-BUAK

Apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan sedia bertanding di kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ramai pemerhati politik melihat ini merupakan gerak politik Ali Rustam yang bercita-cita besar untuk menawan jawatan tertinggi. 
Ali Rustam pernah berhempas pulas dengan Muhyiddin Yassin dan Muhammad Taib untuk menawan Timbalan Presiden UMNO.
Ketika itu rata-rata komen yang berpendapat bahawa adalah lebih molek Ali Rustam tumpu di negeri Melaka sebagai Ketua Menteri kerana banyak pembaharuan yang telah beliau lakukan di Melaka.
Akhirnya beliau gagal kerana dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kerana didapati bersalah dibawah Perkara 10.1, Tata Etika Ahli Umno didapati mempunyai kaitan dengan kesalahan politik yang dilakukan oleh ejen dan pelobi semasa proses pencalonan dan juga semasa berkempen. 
Umum mengetahui bahwa suasana politik parti UMNO hari ini ibarat demam yang belum kebah. Masa untuk kebah makin lama makin serabut. 
Apa juga percaturan, niat, hasrat, cita-cita dan langkah di dalam menjamah kuasa haruslah berhati-hati terutamanya kepimpinan tertinggi supaya apabila ‘kepala bergerak ekor tidak berkodek’. 
Amalan buruk di dalam UMNO ialah kebiasaannya apabila kepala baru sahaja menyatakan niat nak bertanding yang di bawah sudah kalut berkocak menunggu habuan. 
UMNO sedang menghadapi tahap kenyakinan yang rendah di kalangan generasi baru kini dan sebelum parah kepimpinannya harus membuktikan perjalanan politik yang berhemah, tidak rakus dan tamak kuasa.
Baru lah UMNO dipandang tinggi.

Tuesday, January 22, 2013

JASA USTAZ AZIZAN KEPADA RAKYAT KEDAH

Pic:KLA
MR ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Profesor Datuk Dr Hj Jamil bin Osman yang telah secara pribadi menjemput MR ke majlis Istiadat Konvokesyen Khas & Perasmian Kampus Induk KUIN yang indah di Kuala Ketil, Kedah pada 29 Januari 2013.
Insyaallah jika tidak ada aral melintang MR akan hadir ke majlis tersebut. Kebetulan baru-baru ini pergi ke Baling MR ditunjukkan lokasi kampus baru KUIN yang sungguh indah dan luas.
Mungkin inilah jasa peninggalan Ustaz Azizan yang boleh dibanggakan jika beliau tidak lagi menjawat jawatan MB selepas PRU13 nanti. 
MR juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Wira Dr Affifuddin Hj Omar di atas pelantikkannya sebagai Pro Chanselor KUIN yang baru. 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa bidang pendidikan terlalu mahal harganya untuk dipolitikkan kerana ia merupakan bekalan kepada kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara pada masa depan. 
Bagi menyahut seruan ini MR telah mengatur satu pertemuan eksklusif dengan Rektor KUIN Prof Datuk Dr Hj Jamil bin Osman untuk menulis tentang pencapaian dan usaha yang telah beliau lakukan membawa kehebatan KUIN sehingga ke hari ini.
Tunggu postingnya yang akan datang.

Sunday, January 20, 2013

AZRUL AZWAR HARUS SEDAR BELIAU BUKAN DAIM ZAINUDIN

Pic : The Star
Suasana politik tiba-tiba menggelegak seperti air di dalam cerek apabila Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Azrul Azwar Ahmad Tajudin meramalkan kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) dan kemenangan besar bagi PR. Malah jika silap percaturan Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan akan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan mampu membentuk kerajaan pusat.
Terkini, beliau berpegang teguh bahwa pandangannya yang diketengahkan di dalam forum Singapore Regional Outlook Forum adalah dibuat secara profesional, jujur dan tanpa memihak mana-mana pihak.
Yang sebenarnya Azrul Azwar telah tersilap langkah  kerana  terlalu ikhlas meluahkan pandangannya yang begitu sukar  untuk ditelan BN.
Realiti atau fantasi kenyataan ini Azrul perlu simpan sahaja di dalam perutnya atau maklumkan saja kepada bekas Penasihat Ekonomi Negara, Daim Zainudin.
Jika Daim yang meramalkannya pasti semua pihak akan meletup seperti jagung bertih yang digoreng. Pastinya bagi BN dunia ini bagai nak kiamat.
Apa pun seperti kelazimannya di dalam BN post-mortem akan dilakukan selepas kalah dan kalau menang semuanya terus lupa dibuai keseronokan. 
Hakikatnya selain dari analisis Azrul terdapat banyak lagi analisis-analisis yang dibuat seperti Biro Tata Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas, Cawangan Khas, Badan Bukan Kerajaan dan beberapa lagi yang telah menunjukkan keputusan yang tidak memihak kepada BN tetapi demi periok nasi masing-masing mereka terpaksa menyembunyikan data sebenar takut dihukum seperti Azrul. 
Cerita satu insiden di sebuah kawasan Parlimen apabila salah seorang pegawai membentang ‘fact finding’ bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan hitam, Ketua Bahagian UMNO kawasan tersebut bingkas bangun melenting bagai Harimau kepada pegawai tersebut. 
Katanya “Bagaimana awak buat kerja? Hampir setiap hari saya turun memberi bantuan kepada rakyat dan hari ini awak kata kawasan saya, kawasan hitam? Data awak itu tidak tepat. Ini semua kerja sabotaj supaya saya tidak dicalunkan!.” 
Hakikatnya di dalam politik serba kemungkinan boleh berlaku, ular lidi boleh menjadi naga dan chempedak boleh menjadi nangka.
Akhirnya golongan professional akan lari dari UMNO dan BN.

Thursday, January 17, 2013

PATRICK TEOH BANGSAT, BIADAP DAN KURANG AJAR

Islam dihina lagi. Kali ini DJ bangsat Patrick Teoh telah terang-terangan menghina Islam dan kitab suci Al Quran di dalam posting FB nya. Kerana takut diperangi umat Islam beliau telah meminta maaf dan membuang postingnya dengan segera. 
Selama ini pun posting di dalam blog beliau banyak yang menggunakan bahasa-bahasa yang kotor, kesat, kurang ajar dan biadap. Konon mengambil pendekatan kebebasan bersuara tanpa had.
Hari ini Patrick Teoh menerima padahnya. Posting Patrick Teoh ini yang sebenarnya telah membogelkan isi perut golongan ini yang sebenar. Sungguh biadap dan kurang ajar. Patrick Teoh tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam sebelum menerima hukumannya.
Semua pihak harus ingat bahawa toleransi umat Islam dik dihina dan dicerca ada had dan batasannya. 
Semua pihak juga harus beringat-ingat bahawa umat Islam rela mati mempertahankan agama Islam yang suci ini. Jangan sesiapa menghina Allah SWT dan Rasullullah SAW.

Friday, January 11, 2013

UNDI DAP = UNDI KRISTIAN

Akibat perpecahan sesama umat Islam dalam negara ini kerana fahaman politik, hari ini ternyata ia betul-betul diambil kesempatan oleh Kristian dalam DAP. Jika PAS mempergunakan Islam sebagai landasan ideologi politik mereka kini DAP secara terangan-terangan mengambil Kristian sebagai ideologi politik mereka.
Mereka sedar parti politik yang tidak berteraskan ideologi agama dalam negara ini tidak akan bertahan lama. Sosialism, Komunism dan dan yang berteraskan kaum telah berkubur. Parti rangkuman semua teras ini dan pejuang kemerdekaan seperti Barisan Nasional dan UMNO kini terhoyong-hayang mudah diasak jika tidak betul-betul dikupas perjuangan mereka. 
DAP sedar Keadilan Rakyat kini berada di ambang gerhana dan bila-bila masa akan mampus jatuh jika Anwar Ibrahim sudah tidak ada lagi.
Menyedari ini mereka mengambil pendekatan seperti PAS yang menggunakan agama Islam. Perhubungan Islam dan Kristian bukan perkara baru dalam dunia ini. Umum mengetahui sejarah panjang Peperangan Salib,, kejatuhan Empayar Kristian Constantinople di tangan Sultan Mohammad Al Fatih adalah di antara sejarah besar kejatuhan Kristian di tangan umat Islam.
Hari ini pendekatan Kristian berbeza. Mereka menyelinap masuk dalam darah dan daging umat Islam tanpa sedar. Rohani dan iman umat Islam dikocak. Otak umat Islam digoncang. Umat Islam yang nipis imannya seperti kulit bawang kini menjadi ‘confuse’. Malah yang lebih celaru ialah ada Melayu yang sanggup menjadi bangsat dalam DAP. 
Hari ini nama Allah SWT ingin diperalatkan dan dibuat seperti bola untuk meraih sokongan politik di kalangan penganut Kristian laknatullah.
Besyukurlah masih ada ulama’ dalam PAS yang masih berperinsip seperti Timbalan Mursyidul Am PAS Dr Haron Din, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa masih tetap menyatakan pendirian mereka bahawa kalimah Allah hanya untuk agama Islam. 
Ringkasnya di dalam PRU13 yang akan datang sesiapa Melayu Islam yang mengundi DAP bersamaan mengundi Krsitian dan membelot kepada  agama Islam yang maha suci ini.

Monday, January 7, 2013

YUNA MENEMPA NAMA DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Datuk Shake
Penyanyi Yuna diberitakan bakal menyertai syarikat rakaman Verve Music Group yang merupakan antara syarikat rakaman terunggul dalam muzik jazz di Amerika Syarikat (AS) di bawah pengurusan penerbit dan komposer terkenal, David Foster. 
Sebelum Yuna telah terdapat berapa bintang Malaysia yang berjaya menempa nama di luar negara seperti Datuk Shake yang terkenal di Peranchis, Kamahl di Australia dan Aishah and The Fan Club di New Zealand.
Terdapat juga artis yang berbelanja besar untuk mendapat nama di peringkat antarabangsa seperti Mizz Nina, anak kepada Azman Hashim dengan membayar komposer antarabangsa tetapi masih gagal mendapat tempat. Tidak kurang juga percubaan Siti Nurhaliza sendiri tetapi kurang menyengat kerana gagal menguasai Bahasa Inggeris.
Aishah
Ada sesetengah pendapat yang menyatakan untuk sesorang artis itu berjaya di luar negara selain boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik mereka mesti juga lincah dengan persembahan terkangkang terkoyak, sexy, terbuka dan tidak dapat elak untuk berdampingan dengan arak dan kebebasan bersosial.
Kini Yuna telah menampilkan acuan yang tersendiri. Gelombang media sosial tidak mengenal erti sempadan timur atau barat.
Semalam lagu ‘Terukir Di Bintang’ ciptaan Yuna dianugerahkan juara dalam Anugerah Juara Lagu AJL 27. Tahniah!.

Thursday, January 3, 2013

MENGAPA TAKUT HAJI HADI MUNCUL DI TV?

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bimbang jika RTM atau TV3 memberi ruang kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersiaran secara langsung di televisyen selama sejam ia akan merosakkan minda pendengar dan berupaya menggugat keharmonian. 
Kata Khairy tindakan untuk menjelaskan isu Amanat Haji Hadi itu boleh mengundang risiko kepada masyarakat. 
Ramai pemerhati politik yang berkecuali atau yang di atas pagar berpendapat Hadi Awang seharusnya diberi ruang untuk menjelaskan apa sebenarnya Amanat Haji Hadi yang telah memesongkan ramai pengikutnya. 
Masa selama satu jam itu sebenarnya tidak cukup untuk Haji Hadi menebus segala dosa-dosanya jika bersabit amanatnya itu yang terkumpul bertahun-tahun. 
Persoalannya siapa yang mengawal RTM dan TV3 untuk lulus atau tidak penyiaran taubat Hadi ini? Jika terlalu banyak syarat dan songehnya terbuktilah badan penyiaran ini dikawal rapi dan ketat oleh parti-parti politik yang memerintah. 
Di mana keterbukaan dan kebebasan bersuara dalam negara ini seperti yang di war-warkan sesetengah pihak hanyalah laungan kosong sahaja. 
Rating penonton RTM yang paling tercorot jika dibandingkan dengan ASTRO khasnya Maharaja Lawak Mega tidak harus membimbangkan mana-mana parti politik yang memerintah.
Begitu juga rating TV3 yang semakin merudum lebih 58% bukan lagi saluran propaganda yang berkesan. Malah rating Ustaz Azhar Idrus di media sosial lebih mencanak jika di bandingkan dengan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di RTM.
Sesungguhnya Haji Hadi bukan calang-calang politikus. Kematangannya telah memerangkap dua badan penyiaran negara ini. Pengundi sudah boleh membaca siapa sebenarnya yang mengawal media negara ini dan ramai yang akan beralih arah merujuk media sosial, blog dan Youtube.

Wednesday, January 2, 2013

TOLONG JANGAN SESIAPA TEGUR PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM)

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan lah sebuah badan yang sembarangan dan bukannya badan yang boleh disentuh atau ditegur kerana mereka terlalu eksklusif penuh royalis. 
Apabila Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ditanya berhubung desakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang mahu badan induk bola sepak itu dirombak beliau menyatakan hanya Presiden dan Setiausaha Kehormat kata yang boleh mengeluarkan kenyataan. 
Ini bermakna badan itu cukup berdaulat, kebal dan penuh adat istiadat. Menurut Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim desakan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berundur daripada jawatannya adalah tidak relevan. 
Ini kerana Sultan Ahmad Shah mempunyai rangkaian bola sepak yang bagus, bukan sahaja pada peringkat Asia, malah global. Menurut beliau, perletakan jawatan baginda belum tentu akan mengubah senario industri bola sepak negara.
Kesimpulannya sesiapa juga yang menerajui FAM kelak index prestasi utama yang rakyat negara ini ingin lihat ialah peningkatan mutu bolasepak negara, dari teruk kepada hebat. FAM juga harus terbuka untuk teguran dan rakyat juga berhak untuk bersuara.