Rabu Januari 6, 2010
Rosmah Dapatkan Bantuan Isteri Presiden Mesir Bagi Bebaskan Seorang Pelajar Malaysia
KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan mendapatkan bantuan isteri Presiden Mesir, Suzanne Mubarak, bagi membebaskan seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian konvoi Viva Paestina, yang ditahan pihak berkuasa negara itu, semalam.
"Saya dijadualkan bercakap dengan Madamme Suzanne menerusi telefon secara peribadi pada pukul 6 petang ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit pemindahan jantung Tan Geek Koon di Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kejadian di mana lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah, dan tujuh ditahan polis Mesir dalam kejadian tunjuk perasaan di sini pada 11.40 malam Selasa waktu tempatan.
Yang ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar Perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan dari London 6 Disember lepas.
Rosmah berkata beliau akan berbicara dengan Suzanne "dari sudut kewanitaan, iaitu berkaitan kasih sayang terhadap anak-anak dan juga rasa kasih seorang ibu" walaupun sedar isu itu berkait rapat dengan isu diplomasi antarabangsa. Rosmah berkata beliau akan berusaha dengan cara yang terbaik bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah tersebut.
Sementara itu Duta Mesir ke Malaysia Hani Abdel Kader Ahmed Shash memberitahu pemberita bahawa Rosmah telah menghubungi beliau hari ini bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terbaru insiden ElArish itu.
Seorang ahli politik Britain telah menamakan Rosmah, di samping mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, atas usaha gigih mereka bagi membantu konvoi bantuan kemanusiaan Viva Palestina untuk sampai ke destinasi di Semenanjung Gaza baru-baru ini. - BERNAMA
Keperihatinan DS Rosmah amat dihargai. Begitulah bijaknya seorang isteri Perdana Menteri menterjemahkan kuasanya yang ada. Tidak seperti isteri bekas-bekas Perdana Menteri yang lain.
Jika DS Rosmah Berjaya menyelesaikan isu ini ternyata Wisma Putra dan Menteri Luar, Anifah Aman harus menilai kembali KPI Kementeriannya. Begitu juga kementerian-kementerian lain jika berlaku kekusutan DS Rosmah dapat membantu khasnya yang melibatkan hal-ehwal antarabangsa. Kuasa isteri lebih berkesan dari kuasa suami. Isteri tak payah melalui protokol dan temujanji kerana kalau tak dapat tanda tangan siang hari boleh pada malam hari.
Rakyat dapat melihat baru sahaja menjadi isteri PM belum sampai 5 tahun pilihanraya, ternyata kuasa Rosmah terbukti mengatasi kuasa Tun Siti Hasmah Mohd Ali, isteri mantan PM Tun Mahathir yang telah memerintah selama 22 tahun. Tun Siti Hasmah di antara “pioneer Malay Women Doctor” mungkin tidak layak menjangkaui kuasa-kuasa Mahathir pada waktu itu atau kerana kesibukan mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak.
Begitu juga dengan isteri Tun Razak, Toh Puan Rahah yang sibuk mendidik Najib dan anak-anak sehingga tidak sempat menterjemahkan kuasa sebagai isteri PM.
Najib yang sedang kesibukan mengawasi disiplin dan kerenah Menteri-Menteri Kabinetnya yang sukar dikawal dan kerap ponteng dalam persidangan Parlimen, mungkin di antara sebab Najib terpaksa membahagi-bahagikan kuasa Perdana Menteri dengan isterinya yang tersayang, bak kata orang Inggeris “sharing is loving”.
Dan seperti kata Mak Long semasa MR membeli nasi lemak pagi tadi “Kalau tak percaya bini nak percaya siapa lagi?”.