Friday, December 16, 2011

Kenyataan Syed Ali disalah tafsir. Kenyataan "bewak hidup" dituju kepada lembu feedlot bukan kepada Kak Ijat.

DATUK Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan maksud ‘memikul biawak hidup’ adalah ditujukan kepada isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi pertikaian umum dan bukannya ditujukan kepada Shahrizat Abdul Jalil.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, kenyataan beliau semalam adalah berkaitan isu NFC yang mana jika tidak diselesaikan maka selagi itulah rakyat akan menunding jari kepada kerajaan kononnya melindungi Shahrizat yang mana suaminya, Dr. Mohamad Salleh adalah Pengerusi Eksekutif NFC.

“Maka,sudah tentulah pada anggapan saya rakyat akan menyalahkan Perdana Menteri dan Timbalannya kerana memikul isu NFC seperti memikul biawak hidup. Bukannya peribadi Shahrizat,” jelasnya.

Kenyataan keras Syed Ali sebelum ini ditujukan kepada Mohamad Salleh supaya memberikan penjelasan secara jelas dan terperinci berhubung isu tersebut supaya tidak menjadi beban kepada UMNO dan kerajaan pada PRU ke-13 akan datang, sepertimana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia semalam (14 Disember 2011).

“Saya bercakap berkisar tentang isu NFC yang kini menjadi bualan rakyat, malah pihak pembangkang juga menuduh pelbagai penyelewengan berlaku dan menyalahkan kerajaan, bukannya saya tujukan kepada Shahrizat secara peribadi,” tegasnya.

Sebelum ini kata Syed Ali, beliau bersama beberapa pemimpin UMNO telah menegur Shahrizat berhubung isu NFC dan mendesak beliau melepaskan jawatan dalam kabinet tetapi kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

“Ini bermakna saya menghormati Shahrizat sebagai wanita dan pemimpin sayap kanan parti tetapi beliau harus mengakui bahawa isu NFC ini menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri kabinet,” jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan Mohamad Salleh mungkin boleh membersihkan imej Shahrizat yang turut terpalit dalam isu tersebut.

Syed Ali mengulas berhubung kekeliruan tafsiran kepada maksud kenyataan tersebut oleh sesetengah pihak terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) dengan mendakwa beliau tidak menghormati status wanita.

“Saya adalah orang yang paling menghormati kaum wanita, sebab emak saya adalah wanita, malah wanita merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia,” tegasnya.
“Saya ingin jelaskan ini kerana ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tetapi niat saya hanya ingin mempertahankan institusi UMNO, bukannya kepentingan peribadi individu tertentu,” tegasnya.

“Individu tidak penting pada saya, parti dan kerajaan yang lebih penting,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas ini isu NFC tidak akan disentuh lagi kerana kemungkinan ada pihak tertentu berasa ‘kurang enak’ apabila pelbagai cerita mengenainya tersebar terutama menerusi laman-laman blog.
(dari blog http://www.umnobahagiancheras.blogspot.com/)

No comments:

Post a Comment

Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.