Selepas pru12 Kementerian Penerangan bertukar kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) kini selepas pru13 kementerian ini bertukar lagi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKM).
Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek telah dikembalikan dari Kementerian Belia dan Sukan ke kementerian ini.
Pada mula kewujudannya kementerian ini sangat penting sebagai jentera utama propaganda kerajaan untuk menyampaikan mesej serta mencorak pemikiran rakyat serta perpaduan kaum khasnya selepas kejadian 13 Mei dahulu.
Kini, akibat dilanda gelombang lautan biru media siber, internet dan langit terbuka kementerian ini telah menjadi tidak relevan lagi.
Jentera-jentera penerangan, penyiaran dan perang saraf masih lagi menggunakan pendekatan cara lama. Mereka dikambus oleh Youtube, Facebook dan media-media sosial lain yang tidak mengenal erti nasionalisma, sejarah dan tamadun bangsa.
Pegawai-pegawai tua yang penuh birokrasi yang lebih bergelut untuk mengejar pangkat telah tewas dengan ‘soldadu siber’ (meminjam istilah Rais Yatim) yang muda-muda di dalam peperangan media sehingga mereka berjaya menawan minda dan pemikiran pengundi muda yang rata-rata anti kerajaan. Ia ibarat peperangan di antara soldadu tua yang berpenyakit darah tinggi, jantung dan kencing manis dengan soldadu muda yang kuat, cergas dan otak tajam.
Tukar menteri dan mengubah nama kementerian tidak membawa apa-apa makna jika tidak berlaku perubahan dalaman ibarat penjenamaan hardware tetapi softwarenya masih yang sama. Dan untuk mengubah software ini bukan satu perkara yang mudah dengan masa hanya 5 tahun ianya tidak akan menampakkan apa-apa hasil dan tidak mustahil selepas pru14 nama kementerian ini akan ditukar lagi. Mungkin pada ketika itu menterinya terdiri dari wakil pakatan rakyat.
Ramai berpendapat yang menjadi halangan besar kepada perubahan sesuatu kementerian ialah Ketua Setiausahanya kerana mereka cukup berkuasa. Ada seorang rakan berkata beliau terdengar kenyataan dari seorang KSU menyatakan kepada pengurusan tertingginya “Minister come minister goes but I am here to stay”. Ini lebih tepat untuk menyampaikan mesej bahawa ‘apa aku hairan dengan menteri, mereka datang mereka pergi. Engkau orang semua hanya ikut perintah aku kerana sesiapa juga menteri aku akan tetap berada di sini”. Inilah yang ada di dalam KKM ini.
Walaubagaimanapun sama-samalah kita lihat di dalam masa kecemasan 5 tahun ini semoga Shabery Cheek dapat melakukan sesuatu sebelum sesuatu berlaku.







