Saya mulakan posting kali ini dengan memetik tulisan Pak
Kadir Jasin dalam blognya mengisahkan sorang penjual ubat terkenal di Kedah. Loman Penjual Obat
Sebelum tuan-puan pelawat membaca kisah "Loman Penjual
Obat" sila lihat Youtube kisah Ahmad Maslan jual ubat di Permatang Pauh.
Saya rasa tidak banyak bezanya "Ahmad Maslan seorang Timbalan Menteri Kewangan" menjual ubat
GST dengan "Loman Penjual Ubat Cacing Kerawit."
Loman Penjual Ubat
Jadi kali ini saya akan menulis mengenai seorang penjual
ubat yang sudah meninggal dunia yang sangat terkenal masa saya kanak-kanak dan
remaja bernama Loman – singkatan kepada Abdul Rahman dalam loghat Thai.
Abdul Rahman mendakwa dia mualaf dan nama Abdul Rahman
itu mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaya/Malaysia waktu itu, Tunku
Abdul Rahman Putra. Malah Loman mendakwa dia anak angkat Tunku. Masuk akal juga
sebab Tunku memang cergas dalam kegiatan dakwah Islamiah melalui Perkim.
Loman yang bercakap Melayu pelat Siam menjual ubat di
merata pekan sehari di Kedah dan Perlis. Dia menjual pelbagai ubat, tetapi yang
paling terkenal adalah ubat sakit gigi dan ubat cacing ramu. Cacing lamu, kata
Loman. Dalam bahasa baku, cacing ramu dikenali sebagai cacing kerawit
(Enterobius vermicularis). Ia adalah antara jenis cacing yang menjangkiti ramai
orang kampung waktu itu.
Kempen jualan ubat cacing kerawit Loman berbunyi lebih
kurang begini (dengan izin dan berbanyak-banyak maaf): “Cacin lamu dia tak kela
pungkok sapa. Pungkok Loman pun dia kolek. Pungkok Tunku Abdul Rahman pun dia
kolek. Pungkok laja pun dia kolek.”
Memang betul. Anggota badan kita yang paling kerap
diserang cacing kerawit adalah dubur. Sesiapa yang pernah kena serangan cacing
itu fahamlah penderitaannya. Duduk tak sedap. Hendak tidur pun susah.
Tetapi ia tidak susah diubati. Ada banyak ubat
tradisional yang boleh membunuh cacing itu. Ubat paling mujarab sekarang
berjenama Zentel. Ia boleh dibeli tanpa kebenaran doktor di farmasi.
Selepas mempromosikan keberkesanan ubat "cacin
lamu"nya, Loman akan berjenaka: “Adik-adik, abang-abang mai la beli ubat
Loman. Kalu tak hilang nyakit hilang det (duit). Minta det balik, Loman dah
makan.”
Dia kerap membawa isterinya, seorang perempuan yang jauh
lebih muda daripadanya. Dia boleh dikatakan cantik dan bergaya. Loman tahu
ramai juga yang datang bukan untuk membeli ubat, tetapi untuk melihat
isterinya.
Sambil menudingkan jari, Loman berkata: “Hat ni yuai
(jual). Hat tu yuai. Semua yuai.”
Apabila sampai kepada isterinya, dia dengan senyum simpul
berkata: “Hat tu tak yuai!”
Kalau Loman masih hidup, orang politik boleh belajar
daripadanya. Loman tahu macam mana menarik minat pelanggan sebab dia ambil
berat “mood” dan kehendak mereka.
Misalnya, dia tahu jangkitan cacing kerawit paling meluas
pada musim hujan apabila tanah lembap dan kekotoran di mana saja. Dia tahu
jangan sekali-kali berjenaka dengan orang sakit gigi.
No comments:
Post a Comment
Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.