Tuesday, December 11, 2012

SABOTAJ, KUAT SANGATKAH KUASA KETUA BAHAGIAN?

Sabotaj. Tajuk ini menjadi perbualan hangat selepas Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir pada hari Sabtu, 1 Disember 2012. Tajuk ini juga menjadi bekalan pulang perwakilan ke kawasan masing-masing. 
Titisan air mata dan semangat yang jenuh para perwakilan semasa perhimpunan agung bukan jaminan ianya akan berterusan sehingga ke pilihanraya umum nanti, kerana bila-bila masa semangat ini boleh luntur dan bertukar menjadi sebaliknya. 
Ini mungkin berpunca apabila ketua bahagian mereka yang kerap turun makan kenduri di kampung selama ini tidak dilantik sebagai calun YB dalam PRU-13 nanti. Mereka hanya menilai kewibawaan ketua bahagian berdasarkan kekerapan turun kenduri, ziarah jenazah, menganjur rombongan, selalu melepok bersama mereka walaupun yang sebenarnya ketua bahagian itu tidak mendapat tempat di hati pengundi atas pagar. 
Realiti politik akar umbi, ketua bahagian merupakan individu yang berpengaruh untuk mencorakkan dan mengadunkan selera penyokong dan ahli jawatankuasanya.
Persoalannya, sejauh mana kuat dan gagahnya pengaruh ketua bahagian ini? 
Ceritanya semua ini bermula dari pemilihan jawatankuasa bahagian bila mana berlaku jawatan ketua bahagian dicabar dan menyaksikan pertandingan biasanya dua penjuru.
Kelazimannya yang menang hanyalah dengan margin yang rendah dan yang kalah pun bukan kalah keseluruhannya. Memetik kata Tun M, ‘yang kalah bukan kalah semua dan yang menang bukan menang semua’
Sebaliknya tragedi berlaku seperti lirik lagu ABBA ‘The winner takes it all, The loser's standing small’ dan ‘The winners take it all, the loosers has to fall’. Pasukan yang menang menganggap kemenangannya, kemenangan yang mutlak dan mendabik dada berkuasa sebagai ketua bahagian, manakala yang kalah disisih secara terancang kerana bimbang akan pengaruhnya kelak kembali dimakan. 
Segala aktiviti parti terus meminggir yang kalah. Malah yang lebih mendukacitakan penyokong-penyokong yang kalah juga akan menerima padah yang sama. Kalau mengikut hati nya dan pembodeknya biar yang kalah itu menjadi abu atau dalam istilah utara ‘menjadi kupang tembaga’
Meminjam bidalan Melayu di dalam buku kecil ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ terbitan KPKK, ‘Biduk berlalu kiambang bertaut’. ‘Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga’ ini semua tidak berlaku. Ungkapan hanya sedap didengar tetapi tidak diamalkan. 
Sebaliknya apa yang terjadi ialah biduk telah lama berlalu kiambang masih belum bertaut dan bulu-bulu ayam yang carik menjadi perca, perbalahan dalaman lebih hebat dari pertembungan dengan parti lawan sehingga lah terbawa-bawa ke musim pilihanraya. 
Kuasa ketua bahagian juga bukan alang kepalang. Di negeri-negeri yang diperintah pembangkang ketua bahagian secara automatik dilantik oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Penyelaras Parlimen. Mereka bertanggung jawab mengagih-agihkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada akar umbi. 
Di kalangan ketua-ketua bahagian yang bercita-cita besar untuk menjadi calun, kuasa ini diguna pakai bukan untuk menguatkan parti sebaliknya peruntukan ini seperti lesen bagi menguatkan pengaruh peribadi mereka di kawasan. 
Dan yang mengeciwakan pesaing yang kalah tadi hanya melopong meleleh air lior menjadi kera sumbang kerana dilupakan. Beliau seperti menerima hukuman di mana segala peruntukkan hanya setakat diberi hidu baunya. 
Di dalam wawancara Chamil Wariya dengan Dato’ Seri Najib disedut dari buku Pandangan Politik Era Mahathir pada tahun 1987. Najib ditanya tentang pandangan beliau berhubung orang politik apabila tidak berkuasa lagi mereka tidak akan dikerumuni lagi. “Dalam UMNO terdapat politik of patronage. Bukan ideologi atau idealism tetapi politik of patronage merupakan akar tunjang, falsafah, kalau hendak dikatakan falsafah orang Melayu. Selagi kita boleh tabur budi, kita ada pengaruh. Ini satu kenyataan” Jawab Najib. 
“Apabila ada jawatan orang akan berkerumun, bila sudah tidak ada, dia akan mencari pokok yang baru. Ini akan berlaku kepada setiap ahli politik. Jadi, kita mesti mengingatkan diri kita perkara ini.” Najib berpendapat di dalam politik jangan sangat diharap budi orang kelak akan kecewa. 
Baru semalam MR sudah dengar ada ketua bahagian sudah stop buat sementara waktu sebarang aktiviti di bahagian kerana menunggu siapa akan dicalunkan. 

No comments:

Post a Comment

Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.