Pemimpin pembangkang Kedah nampaknya lebih awal menghidu isu berhubung kesan kejatuhan harga getah kepada penoreh di Kedah jika dibandingkan dengan kepimpinan Barisan Nasional yang sedang leka dengan transformasi aman serta makmur.
Tidak dinafikan ada segelintir exco UMNO yang rajin turun padang mendekati rakyat tetapi yang menyedihkan masih ada juga segelintir Exco UMNO sedang kalut sedang mencatur projek, peruntukan dan memperkayakan diri dan keluarga sebagai persediaan jika Kerajaan mereka sekarang jatuh dalam pilihanraya yang akan datang.
Hakikatnya mana-mana parti yang menjadi pembangkang akan lebih sensitif dengan penderitaan rakyat seperti BN yang menjadi pembangkang di Kedah pada penggal yang lepas. Rakyat lebih makmur jika BN jadi pembangkang. Bermacam-macam peruntukan turun terus kepada rakyat ketika itu melalui berbagai-bagai agensi malah ada resmi dan yang tersembunyi. Hari ini peruntukan terpaksa melalui liku-liku birokrasi. Suara rakyat menjadi suara sepi kerana wakil rakyat sibuk bermesyuarat kesana kemari. Kalau yang tidak sibuk pun mereka menjadi kelam kabut buat sibuk.
Berikut adalah berita lapuran MI berhubung isu kejatuhan harga getah di Kedah. Lapuran ini disiarkan kerana menepati dengan tinjauan yang MR lakukan di sekitar Baling dan Sik sejak 3 bulan yang lalu.
Walaupun menggesa Putrajaya menetapkan harga lantai bagi getah kepada RM4 sekilogram, keadaan menjadi semakin teruk buat penoreh getah dan pekebun kecil yang berjumlah hampir 500,000 orang di negara ini.
Ramai sekarang ini bergelut dengan harga komoditi itu yang paling rendah dalam bertahun-tahun, pada kira-kira RM1.60 sekilo dibandingkan RM2.30 pada April, apabila perhimpunan itu diadakan, bertema: "Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0" diadakan di Kupang.
Pemimpin pembangkang Kedah Datuk Amiruddin Hamzah yang menganjurkan perhimpunan itu memberitahu The Malaysian Insider, sekarang ini ramai yang sampai ke tahap tidak mampu hendak membeli beras.
“Pada harga RM1.60 sekilo, mereka hanya dapat 80 sen apabila diambil kira bayaran upah kepada pekerja. Dengan tibanya musim hujan sekarang, penoreh getah pun kadang-kadang tidak boleh keluar menoreh.
"Di Kedah kita dengar kes di mana rakyat terpaksa beli beras mengikut kilogram, bukan beli dalam paket. Paket paling kecil dijual pada saiz 5kg - itu pun mereka tidak mampu," kata Amiruddin.
Amiruddin berkata, tuntutan mereka tidak dihiraukan Putrajaya walaupun mereka menyerahkan satu memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) cuba menghujahkan kes mereka di Parlimen.
"Wakil rakyat kami sudah bercakap tentang isu ini, tetapi tiada hasil. Suara rakyat tiada nilainya saya rasa, kecuali ketika menjelang pilihan raya,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Anak Bukit itu.
"Kerajaan persekutuan berkata ia tidak mampu melakukan lebih lagi, memandangkan beban ekonomi yang ditanggung, tetapi mereka lupa yang paling teruk menerima akibat kejatuhan ekonomi ialah golongan pekerja - penoreh getah dan pekebun kecil," katanya.
Amiruddin berkata satu-satunya kemajuan hanya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dalam Bajet 2015 yang LGM akan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan mekanisme kawalan harga pada peringkat ladang bertujuan melindungi pekebun kecil daripada terus menanggung kerugian akibat kejatuhan harga di pasaran dunia yang mencecah di bawah harga minimum yang ditetapkan.
LGM juga akan menyediakan pinjaman mudah RM6.4 juta sebagai modal kerja untuk 64 koperasi pekebun kecil bagi membeli getah secara langsung daripada 442,000 pekebun kecil getah, menurut Bajet.
“Tetapi, semua yang kami minta dalam memorandum itu tiada hasilnya,” kata Amiruddin.
Selain tuntutan menaikkan harga lantai bagi getah, mereka juga meminta Putrajaya memberi subsidi baja selama 25 tahun dan dalam penanaman semula pokok getah; memansuhkan cukai atas getah; dan memastikan kos pengeluaran tidak hanya ditanggung penoreh getah dan pekebun kecil, tetapi dikongsi bersama dengan pengilang.
"Mereka seperti penoreh getah dan pekebun kecil sudah lama berdepan kenaikan kos sara hidup akibat harga barang yang semakin meningkat," kata Amiruddin membacakan deklarasi perhimpunan itu pada April.
Deklarasi itu disokong 32 kumpulan, termasuk PAS Kedah, Pemuda PAS Pusat, PKR, DAP, penoreh getah, petani dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Suara Anak Kampung.
Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, keadaan makin teruk bagi kehidupan penoreh getah sejak beliau membacakan deklarasi itu.
Tetapi, katanya, penduduk tempatan tidak putus harapan, dan hari ini mereka menganjurkan satu demonstrasi di Lenggong, Perak, menuntut harga getah dinaikkan.
"Bagaimanapun, setakat mana saja yang boleh kami lakukan. Akhirnya, kuasa di tangan kerajaan pusat untuk membantu," kata Amiruddin.
Pada Jumaat, The Malaysian Insider melaporkan, jika dulu penoreh getah dan pekebun kecil mampu menikmati hasil sehingga RM1,500 sebulan, tetapi kini hanya mampu memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM600 - turun kira-kira 66% sejak awal tahun ini.
Mereka yang ditemui berkata mereka hidup 'kais pagi makan pagi' dan terpaksa mencari sumber pendapatan sampingan berikutan kejatuhan mendadak harga komoditi dunia.
Zulkifli Husin, 61, pemilik kebun getah di Kampung Peradong, Jelebu di Negeri Sembilan berkata, beliau tidak dapat membayangkan keadaan dirinya sekeluarga menghadapi musim 'daun luruh' tahun depan, iaitu tempoh getah tidak dapat mengeluarkan hasil sepanjang Februari dan Mac.
Pekerja ladang, Mohd Shamsul Hashim, 32, berkata, kerja menoreh saja tidak mampu menanggung lima orang anaknya berusia antara 3 tahun dan 12 tahun, menyebabkan beliau terpaksa membuat kerja sampingan sebagai 'despatch rider' dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,200 sebulan.
Pemborong getah berlesen persendirian, Noraznim Nordin, 38, menyifatkan harga pasaran getah sekarang sebagai terburuk dalam tempoh empat tahun.
Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar di dunia bagi getah dan kelapa sawit, dan dengan penurunan harga 25% dan 16% bagi kedua-dua komoditi, ia meninggalkan kesan yang teruk terhadap pendapatan.
The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Selasa, kesan negatif daripada kejatuhan harga komoditi minyak memberi kesan buruk pada prospek pertumbuhan dan hasil kerajaan Malaysia.
Katanya, pendapatan negara banyak bergantung pada eksport minyak, minyak sawit dan getah, bermakna penurunan harga global bagi komoditi ini akan paling teruk melanda Malaysia. – 23 November, 2014.