Kenyataan di bawah disedut khas sepenuhnya dari Malaysian Insider untuk direkod sebagai catatan sejarah blog ini. Catatan ini adalah untuk rujukan mungkin 10 atau 20 tahun yang akan datang.
Pada ketika itu mungkin evolusi dunia blogspera sudah berubah bentuk dan arusnya.
Walauapapun perubahan tetapi yang pasti dan tetap tidak berubah ialah catatan isi kandungannya dan semangatnya.
Bukan sahaja disegani di kalangan orang ramai, pemergian Karpal Singh memberi kesan mendalam kepada 11 cucu yang ditinggalkannya, mereka bercita-cita untuk mengikut jejak datuk mereka menjadi "Harimau Jelutong".
Semua cucu mendiang berkumpul di ruang sidang media yang disediakan, cucu Karpal paling tua berusia 11 tahun, Aashay Singh Deo menyifatkan datuknya sebagai inspirasi kepada mereka.
"Kami mahu jadi seperti datuk, jadi Harimau Jelutong," kata Aakshay, anak sulung kepada Jagdeep Singh Deo, yang juga Ahli Undangan Negeri (Adun) Datuk Keramat, Pulau Pinang.
Cucu Karpal kemudian menunjukkan kad yang tertulis kata-kata penghargaan kepada datuk mereka, antaranya tertulis "Kami akan rindu kamu", "Jangan main-main", "Singh is king" dan "Kami semua akan jadi harimau seperti kamu".
Orang ramai tidak putus-putus menziarah untuk melihat buat kali terakhir "Harimau Jelutong", jambangan bunga tanda peringatan memenuhi kediaman ahli politik disegani ramai mendiang Karpal Singh.
Walaupun masa untuk melawat bermula pada jam 11 pagi, orang ramai mula membanjiri rumah ahli politik veteran DAP tersebut seawal jam 8 pagi.
Khemah dipasang di luar rumah Karpal di Jalan Utama penuh dengan masyarakat berbilang kaum menunggu giliran untuk melihat peguam yang digeruni lawan dan rakan tersebut, sementara sukarelawan sibuk mengawal lalu lintas bagi mengelak kesesakan.
Anak Karpal, Gobind Singh Deo mempelawa orang ramai untuk masuk melawat bapanya dan selepas itu mengadakan sidang media ringkas bagi meraikan tetamu yang datang.
"Bapa sering menjadi pembela kami," kata Gobind mengimbau kembali zaman kanak-kanak bersama bapanya.
Segenap masyarakat tidak kira agama dan bangsa meratapi pemergian Ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut, pemimpin Katolik Ketua Uskup Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, yang juga rakan satu sekolah menyifatkan Karpal sebagai seorang yang hebat.
"Kami kenal sejak zaman persekolahan. Beliau seorang insan yang hebat dan memang perlu menghargai individu sebegini," kata beliau yang bersekolah bersama mendiang di St Xavier, Pulau Pinang.
Mendiang meningalkan legasi sebagai seorang yang tegas dan berprinsip, serta ada juga tidak pihak yang menyenangi pendirian beliau khususnya dalam soal Perlembagaan negara.
Perbezaan pendapat bukan alasan untuk lawan bermusuh dengan mendiang, malah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang sering bertegas mengenai hukum hudud juga menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Karpal.
Mendiang Karpal sering berbeza pendapat dengan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut memandangkan bertentangan dengan Perlembagaan negara.
"Kita kehilangan pejuang yang aktif perjuangkan keadilan rakyat," kata Ahmad yang tiba sekitar jam 1 tengahari di kediaman mendiang.
Cuaca yang mendung memudahkan orang ramai untuk menziarah, malah satu kawasan lapang letak kereta berhampiran rumah mendiang memudahkan mereka yang melawatinya.
Pelawat juga disediakan dengan minuman sekiranya kering tekak menunggu giliran untuk melawat.
Ramai juga yang juga datang jauh untuk memberikan penghormatan terakhir, beberapa rakan wartawan dan aktivis juga tidak melepaskan peluang untuk menziarah mendiang.
Tokoh pertubuhan bukan kerajaan, Bersih 2.0 yang mendesak pilihan raya adil, Datuk Ambiga Sreenevasan juga hadir bagi memberi penghormatan terakhir.
Ambiga yang juga seorang peguam bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang dan terserempak dengan rakan-rakan peguam lain yang juga pergi untuk menziarah mendiang.
Isteri ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba sekitar jam 3 petang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Karpal yang juga peguambela kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes Liwat II.
Dr Wan Azizah terharu dengan mendiang yang jujur membantu dan menjadi peguam kepada Anwar.
"Mendiang tidak pernah meminta satu sen pun daripada kami," kata Dr Wan Azizah yang sedih mengesat air mata.
Pemimpin PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan rakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 juga hadir melawat mendiang.
"Beliau adalah rakan tahanan saya semasa Operasi Lalang pada 1987.
"Saya masih teringat ketika isteri mendiang membawa bekalan makanan dan kami berkongsi sama makanan," kata Mahfuz.
Pukul 11 malam adalah waktu terakhir untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir, bagaimanapun pada jam 8 malam orang ramai masih lagi beratur panjang di bawah hujan renyai-renyai membasahi kediaman Karpal.
Karpal, 73, terbunuh dalam kemalangan pada Khamis lalu kira-kira jam 1 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak apabila kenderaan Toyota Alphard beliau melanggar sebuah lori.
Pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius Selvam Vellu turut meninggal dunia dalam kemalangan itu, manakala anaknya Ramkarpal dan pemandu terselamat dengan kecederaan kecil.
Sejak Khamis lalu, ribuan orang melawat rumahnya di Pulau Pinang untuk memberi penghormatan terakhir kepada orang yang dianggap pelbagai pihak sebagai salah seorang daripada ahli politik terbaik di negara ini.
Esok, jenazah mendiang akan dibawa ke Dewan Seri Pinang bagi memberi peluang kepada orang awam memberikan penghormatan terakhir.
Ia akan bermula seawal 8.30 pagi hingga 10.15 pagi. – 19 April, 2014.