Thursday, November 27, 2014

“PERHATIAN!! SURAT SOKONGAN ROSMAH DIHARAMKAN DI PEJABAT INI”

“Whoever uses my name, I ask the offices and ministries not to approve it. How can the department heads approve such projects without even checking the facts with me?” 
Membaca kenyataan Rosmah yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 26 Nov 2014 ternyata ianya memberi nafas yang cukup lega dan selesa kepada seluruh usahawan Melayu, saudagar Melayu, peniaga Melayu dan penjaja Melayu apabila mereka tidak lagi perlu bersaing dengan kontraktor-kontraktor yang mengonggong surat sokongan DS Rosmah. 
Dengan kenyataan yang jelas lagi bersuluh itu mereka kini boleh bersaing dalam pasaran terbuka tanpa ada cuak dan curiga dicantas oleh tangan-tangan yang tersembunyi di belakang tabir. Inilah masa nya untuk mereka membuktikan kemampuan, kewibawaan dan kesungguhan sebagai usahawan Melayu di dalam negara yang sudah 57 tahun Merdeka.
Pegawai-pegawai kerajaan juga tidak harus melayan 'phone call' dari pejabat Rosmah atau sahabat Rosmah atau rakan Rosmah. 
Untuk memudahkan pentadbiran dan rasa seram mereka sepatutnya menampal kenyataan besar “SURAT SOKONGAN ROSMAH DIHARAMKAN DIPEJABAT INI” di setiap pintu masuk pejabat kerajaan khasnya yang di bawah kementerian Kewangan. 
Apa pun di dalam rekod kepimpinan yang lepas kita tidak pernah mendengar isteri Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Siti Hasmah terpaksa mengeluarkan kenyataan yang sedemikian. 
Mungkin kerana Tun Dr Siti lebih gemar melengkar diceruk dapur menumbuk sambal belacan daripada menyibuk menyelak proposal perniagaan.

Sunday, November 23, 2014

LEBIH BAIK KEDAH DIPERINTAH PEMBANGKANG

Pemimpin pembangkang Kedah nampaknya lebih awal menghidu isu berhubung kesan kejatuhan harga getah kepada penoreh di Kedah jika dibandingkan dengan kepimpinan Barisan Nasional yang sedang leka dengan transformasi aman serta makmur. 
Tidak dinafikan ada segelintir exco UMNO yang rajin turun padang mendekati rakyat tetapi yang menyedihkan masih ada juga segelintir Exco UMNO sedang kalut sedang mencatur projek, peruntukan dan memperkayakan diri dan keluarga sebagai persediaan jika Kerajaan mereka sekarang jatuh dalam pilihanraya yang akan datang. 
Hakikatnya mana-mana parti yang menjadi pembangkang akan lebih sensitif dengan penderitaan rakyat seperti BN yang menjadi pembangkang di Kedah pada penggal yang lepas. Rakyat lebih makmur jika BN jadi pembangkang. Bermacam-macam peruntukan turun terus kepada rakyat ketika itu melalui berbagai-bagai agensi malah ada resmi dan yang tersembunyi. Hari ini peruntukan terpaksa melalui liku-liku birokrasi. Suara rakyat menjadi suara sepi kerana wakil rakyat sibuk bermesyuarat kesana kemari. Kalau yang tidak sibuk pun mereka menjadi kelam kabut buat sibuk.
Berikut adalah berita lapuran MI berhubung isu kejatuhan harga getah di Kedah. Lapuran ini disiarkan kerana menepati dengan tinjauan yang MR lakukan di sekitar Baling dan Sik sejak 3 bulan yang lalu.

Walaupun menggesa Putrajaya menetapkan harga lantai bagi getah kepada RM4 sekilogram, keadaan menjadi semakin teruk buat penoreh getah dan pekebun kecil yang berjumlah hampir 500,000 orang di negara ini. Ramai sekarang ini bergelut dengan harga komoditi itu yang paling rendah dalam bertahun-tahun, pada kira-kira RM1.60 sekilo dibandingkan RM2.30 pada April, apabila perhimpunan itu diadakan, bertema: "Himpunan Derita Rakyat: Baling 2.0" diadakan di Kupang. 
Pemimpin pembangkang Kedah Datuk Amiruddin Hamzah yang menganjurkan perhimpunan itu memberitahu The Malaysian Insider, sekarang ini ramai yang sampai ke tahap tidak mampu hendak membeli beras. 
“Pada harga RM1.60 sekilo, mereka hanya dapat 80 sen apabila diambil kira bayaran upah kepada pekerja. Dengan tibanya musim hujan sekarang, penoreh getah pun kadang-kadang tidak boleh keluar menoreh. 
"Di Kedah kita dengar kes di mana rakyat terpaksa beli beras mengikut kilogram, bukan beli dalam paket. Paket paling kecil dijual pada saiz 5kg - itu pun mereka tidak mampu," kata Amiruddin. 
Amiruddin berkata, tuntutan mereka tidak dihiraukan Putrajaya walaupun mereka menyerahkan satu memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) cuba menghujahkan kes mereka di Parlimen. 
"Wakil rakyat kami sudah bercakap tentang isu ini, tetapi tiada hasil. Suara rakyat tiada nilainya saya rasa, kecuali ketika menjelang pilihan raya,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Anak Bukit itu. 
"Kerajaan persekutuan berkata ia tidak mampu melakukan lebih lagi, memandangkan beban ekonomi yang ditanggung, tetapi mereka lupa yang paling teruk menerima akibat kejatuhan ekonomi ialah golongan pekerja - penoreh getah dan pekebun kecil," katanya.
Amiruddin berkata satu-satunya kemajuan hanya apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dalam Bajet 2015 yang LGM akan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan mekanisme kawalan harga pada peringkat ladang bertujuan melindungi pekebun kecil daripada terus menanggung kerugian akibat kejatuhan harga di pasaran dunia yang mencecah di bawah harga minimum yang ditetapkan. 
LGM juga akan menyediakan pinjaman mudah RM6.4 juta sebagai modal kerja untuk 64 koperasi pekebun kecil bagi membeli getah secara langsung daripada 442,000 pekebun kecil getah, menurut Bajet. 
“Tetapi, semua yang kami minta dalam memorandum itu tiada hasilnya,” kata Amiruddin. 
Selain tuntutan menaikkan harga lantai bagi getah, mereka juga meminta Putrajaya memberi subsidi baja selama 25 tahun dan dalam penanaman semula pokok getah; memansuhkan cukai atas getah; dan memastikan kos pengeluaran tidak hanya ditanggung penoreh getah dan pekebun kecil, tetapi dikongsi bersama dengan pengilang.
"Mereka seperti penoreh getah dan pekebun kecil sudah lama berdepan kenaikan kos sara hidup akibat harga barang yang semakin meningkat," kata Amiruddin membacakan deklarasi perhimpunan itu pada April.
Deklarasi itu disokong 32 kumpulan, termasuk PAS Kedah, Pemuda PAS Pusat, PKR, DAP, penoreh getah, petani dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Suara Anak Kampung. Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, keadaan makin teruk bagi kehidupan penoreh getah sejak beliau membacakan deklarasi itu. Tetapi, katanya, penduduk tempatan tidak putus harapan, dan hari ini mereka menganjurkan satu demonstrasi di Lenggong, Perak, menuntut harga getah dinaikkan. 
"Bagaimanapun, setakat mana saja yang boleh kami lakukan. Akhirnya, kuasa di tangan kerajaan pusat untuk membantu," kata Amiruddin. 
Pada Jumaat, The Malaysian Insider melaporkan, jika dulu penoreh getah dan pekebun kecil mampu menikmati hasil sehingga RM1,500 sebulan, tetapi kini hanya mampu memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM600 - turun kira-kira 66% sejak awal tahun ini. 
Mereka yang ditemui berkata mereka hidup 'kais pagi makan pagi' dan terpaksa mencari sumber pendapatan sampingan berikutan kejatuhan mendadak harga komoditi dunia. Zulkifli Husin, 61, pemilik kebun getah di Kampung Peradong, Jelebu di Negeri Sembilan berkata, beliau tidak dapat membayangkan keadaan dirinya sekeluarga menghadapi musim 'daun luruh' tahun depan, iaitu tempoh getah tidak dapat mengeluarkan hasil sepanjang Februari dan Mac. 
Pekerja ladang, Mohd Shamsul Hashim, 32, berkata, kerja menoreh saja tidak mampu menanggung lima orang anaknya berusia antara 3 tahun dan 12 tahun, menyebabkan beliau terpaksa membuat kerja sampingan sebagai 'despatch rider' dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM1,200 sebulan. Pemborong getah berlesen persendirian, Noraznim Nordin, 38, menyifatkan harga pasaran getah sekarang sebagai terburuk dalam tempoh empat tahun. 
Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar di dunia bagi getah dan kelapa sawit, dan dengan penurunan harga 25% dan 16% bagi kedua-dua komoditi, ia meninggalkan kesan yang teruk terhadap pendapatan. 
The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Selasa, kesan negatif daripada kejatuhan harga komoditi minyak memberi kesan buruk pada prospek pertumbuhan dan hasil kerajaan Malaysia. 
Katanya, pendapatan negara banyak bergantung pada eksport minyak, minyak sawit dan getah, bermakna penurunan harga global bagi komoditi ini akan paling teruk melanda Malaysia. – 23 November, 2014.

Monday, November 10, 2014

APABILA MENTERI BESAR MERASA DIRINYA TERLALU BESAR- “DUNIA INI ANNA YANG AMPUNYA”



MB Pahang melenting naik gila memarahi Utusan Malaysia kerana ditegur Utusan akibat dari pembangunan Cameron Highland yang mengila
Inilah kisahnya apabila Menteri Besar merasakan dirinya terlalu besar.
Di bawah artikel Zulkifli Bakar, Utusan Malaysia.

ADALAH sesuatu melucukan apabila istilah ‘ditawan’ yang digunakan oleh Mingguan Malaysia berhubung kebanjiran warga a­sing khususnya warga Bangladesh di Cameron Highlands menjadi perdebatan kelompok yang cuba muncul sebagai ‘pembela’ kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Ramai yang memberi reaksi termasuklah menuduh Utusan Malaysia sendiri tidak boleh dikritik apabila akhbar ini bertindak menegur sikap Adnan, tetapi lebih aneh bukan isu yang diketengahkan menjadi perdebatan tetapi soal istilah.
Bagaimanapun biarlah mereka terus keliru dengan istilah tersebut, kita tidak harus membuang masa untuk memberi penjelasan, apa yang lebih penting ialah persoalan pokok mengenai nasib Came­ron Highlands.
Masalah yang berlaku bukan soal istilah tetapi soal pokok iaitu kebanjiran warga asing yang melimpah ruah di tanah tinggi itu atas alasan ia diperlukan oleh sektor pertanian? Kenapakah tidak bercakap soal kemusnahan alam sekitar yang me­landa Cameron Highlands?
Kalau betul sayang sangat kepada pentadbiran kerajaan negeri dan sentiasa yakin kewibawaan Menteri Besar Pahang maka kemu­kakan cadangan bagaimana hendak menangani masalah yang berlaku dan bukannya seolah-olah kembali ‘menyerang’ media.
Kelompok ini perlu faham Came­ron Highlands bukanlah satu-satunya kawasan yang menjadi mangsa kerakusan manusia meneroka ta­nah secara haram, ada beberapa lagi kawasan di negeri itu turut terlibat. Perkara ini seharusnya mendapat perhatian dan diselesaikan segera.
Malang sekali bagi negeri Pahang kerana mempunyai segelintir pemimpin yang masih lagi mengamalkan sindrom penafian dan lebih suka bercakap soal remeh temeh sedangkan isu utama mahu dipejamkan mata sahaja. Oleh itu adalah lebih baik mereka mereka memberi tumpuan kepada 22 isu dan syor yang dikemukakan serta dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu Cameron Highlands daripada menghabiskan masa mempertahankan per­kara lain. Jadilah ‘pembela’ yang memastikan kerajaan negeri memandangkan serius dan melaksa­nakan semua syor SPRM itu.
Seperkara lagi, dalam keghairahan menjadi ‘pembela tidak bertempat’, ada yang mengaitkan Utusan Malaysia membawa suara pembangkang apabila mengkritik Adnan, tetapi apakah seorang pe­mimpin UMNO berhak menghina Utusan Malaysia dengan menuduh akhbar ini mencari berita sensasi bagi melariskan jualan akhbar?
Apakah kenyataan itu tidak boleh dikategorikan sebagai emosional? Apakah emosional itu ha­nya dibenarkan apabila seseorang pemimpin tersebut menunjukkan isyarat lucah di hadapan orang ramai seperti mana berlaku dalam pilihan raya kecil Sanggang tidak lama dahulu?
Utusan Malaysia tidak kisah dikritik kerana sepanjang masa menjadi mangsa kritikan bukan sahaja oleh pemimpin pembangkang tetapi juga pemimpin kerajaan tetapi biarlah ia berasaskan kepada fakta yang dibentangkan.
Sepatutnya yang perlu ditum­pu dan diberi perhatian ialah mengenai sesuatu kejadian yang didedahkan bukannya soal istilah yang digunakan apatah lagi kalau ia dalam kategori metafora. Justeru kalaupun hendak menjadi ‘pem­bela’ sekali pun fahamilah dahulu isu yang diketengahkan dan betapa serius masalah yang dipaparkan.
Kenapakah pendedahan Ming­guan Malaysia dan Utusan Malaysia sebelum ini seperti penyelewengan diesel bersubsidi, jenayah di Kuala Sepetang, ke­giatan mesin judi haram dan penyeludupan rokok dan arak tidak dilayan secara emosional oleh menteri, menteri besar, ketua menteri atau pegawai kanan yang terlibat? Kenapakah apabila menyentuh sahaja isu di Pahang ia dianggap usaha untuk memburuk-burukkan Adnan?
Pendedahan yang dibuat bertujuan mencari penyelesaian bukannya mahu menjatuhkan sesiapa, tetapi biasalah penyokong orang politik tidak akan selesa jika idola mereka dikritik kerana bimbang ‘dahan yang dipaut’ akan patah, biarpun dahan itu sepatutnya sudah lama ditebang.