Thursday, September 18, 2014

INI MENTERI TAK SOMBONG


INI MENTERI TARAK SOMBONG OOO...

Seperti kebiasaan di dalam mana-mana pilihanraya baik yang kecil atau pilihanraya umum ramai pemimpin turun padang dengan gaya simple, santai dan ada yang berkain pelikat untuk bertemu rakyat.
Mereka bersalaman tak putus arus. Tangan-tangan lembut gebu mereka bersalaman tidak kira waktu dengan tangan-tangan kasar rakyat. Samada ikhlas atau sebaliknya hanya Allah tuhan yang maha mengetahui.
Seperti kebiasaan juga selepas pilihanraya apabila sudah menang baru warna sebenar Pak Menteri terserlah. Mereka akan balik ke Putrajaya kembali ke pejabat penuh tapisan dan kawalan rapi dengan pengawal keselamatan. Mungkin bimbang lalat dan langau akan menyerbu. 
Dan kalau bersalaman pun kali ini mata menteri tidak melihat lagi mata rakyat kerana Pak Menteri amat sibuk. Rakyat di tinggal jauh sehinggalah berlaku pilihanraya pulak.
Sebenarnya tindakkan ini bukan lah menipu rakyat atau berlakon di depan rakyat tetapi ini adalah amalan demokrasi yang sihat di mana satu undi amat bermakna untuk kemenangan di dalam pertandingan mewakili rakyat. Kalau dengan title ustaz boleh memikat rakyat apa salahnya? Kalau dengan pakaian lebai dan visual bersolat  boleh meraih undi apa salahnya?.
Kerana rakyat mudah lupa. Ini menteri tarak sombong.

Saturday, September 6, 2014

MAHATHIR SAYANG NAJIB



 
REAKSI TUNKU MENERIMA TEGURAN MAHATHIR
Menurut Mukhriz teguran bapanya kepada Najib dalam blog chedet.cc adalah kerana sayang dan untuk menjana kekuatan atau energy kepada Najib yang sedang menghadapi berbagai ujian kebelakangan ini. (Di mana dan apa cerita di dalam KOTAK HITAM MH17?).
Allhamdulillah Mukhriz juga berprinsip yang sama dapat menerima teguran dengan terbuka dan beliau yakin hanya orang yang sayang sahaja akan menegur berlawanan dengan golongan yang menyokong manis dibibir atau pengampu sebaliknya membawa rebah.
Menurut Mahathir di dalam blognya beliau juga pernah menegur Tunku - “Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku”.
Mengimbau sejarah teguran Mahathir terhadap Tunku kerana sayang sebenarnya ia tidak mendatangkan kekuatan kepada Tunku sebaliknya ia mengeheret Tunku turun dari kerusi PM dengan lebih cepat
Kata Mahathir beliau “menegur” Tunku. Ikuti Perenggan 7 dan 8 dalam surat teguran Mahathir yang berbunyi :-
“Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenalkan sebagai ‘The Happy Prime Minister’ walaupun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku menggunakan kenderaan dan eskot Polis untuk bermain poker’
‘Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku ‘naïve’ dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang ta’ dapat patek sebutkan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hingga China becha.’
Hari ini teguran Mahathir terhadap Najib dalam para 25 blognya berbunyi - “Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng”.
Manakala para 31 Mahathir menegur - “Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan Negara”.
Hakikatnya Mahathir lebih sayang negaranya dan bangsanya daripada sesiapa juga.

Monday, August 18, 2014

“MENEGUR” SAMBUNGAN DARI BLOG CHE DET

Blog chedet hentam Najib lagi dengan posting terkini "Menegur" .
Bercakap isu menegur pemimpin ini sesungguhnya ia juga tidak terkecuali teguran kepada MB Kedah, Mukhriz. 
Ada siber trooper yang memberitahu kepada Mukhriz bahawa blog MR telah memburuk-burukkan pemerintahannya. 
Sehingga menurut rakan, blog ini telah dihentam di hadapan Mukhriz dalam ucapan perasmian satu mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri Kedah.
Akibat dari beberapa teguran itu blog ini telah diugut, dimaki, dihamun dan disumpah oleh segelintir siber trooper sekeliling MB. 
Siber trooper yang dibayar itu telah menghina dengan kata-kata yang kesat mungkin kerana tidak suka mendengar MB di tegur. 
Mereka seharusnya berhujah di dalam fakta berbahasa yang sopan bukan dengan bahasa yang kotor dan makian yang lucah kerana mereka membawa imej pejabat Mukhriz.
Mungkin dari latar belakang mereka yang berbagai mereka terbawa-bawa dengan gaya bahasa yang kotor. Mereka kelihatan terlalu negatif konon untuk tunjuk hero dalam "circle" koridor Mukhriz. 
Dan kini sudah terdedah di kalangan mereka mula berkelahi semasa sendiri kerana masing-masing berebut-rebut untuk menambat hati Mukhriz. 
MR suka memetik kata-kata bapa Mukhriz Chedet, “Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya”. 
Akibat pembinaan lapisan tembok besar yang dibina suara-suara akar umbi sudah tidak sampai kepada Mukhriz maka ramai yang mengambil pendekatan meluahkan kekeciwaan melalui media sosial untuk menegur. 
Sekali lagi izinkan saya pinjam cerita dongeng dari blog CheDet juga tentang raja bogel: 
"Al kisah - cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”. 
Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.” Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel". 
Beberapa janji oleh MB kepada beberapa pertubuhan janji tinggal janji. Janji untuk mengadakan perjumpaan berkala dan terlibat dalam makmal transformasi pembangunan negeri hanya tinggal janji. 
Orang-orang sekeliling MB menapis apa yang patut MB dengar dan dengar yang suka hati sahaja. Mereka yang bertungkus lumus membantu kemenangan MB dan yang kuat menyokong dahulu tidak diberi layanan yang saksama.
Yang tidak hemoi dan tebal muka mencium tangan MB telah direjam dan dilanyak ketokohan mereka. “Kera di hutan disusukan anak di rumah kelaparan”. 
MR juga berprinsip seperti Che Det “Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negeri saya”.

Sunday, August 17, 2014

BOGEL



Di Pulau Pinang baru-baru ini sekumpulan ‘nature lovers’ dari group 'SgNudClub' yang ditubuhkan pada 2006 telah menganjurkan Pesta Sukan Bogel 2014 “Penang Nude Sports Games 2014” di pantai Pantai Teluk Kampi, Teluk Bahang
Sehingga kini pihak berkuasa sedang memburu seorang demi seorang peserta sukan itu untuk disiasat mengapa mereka tidak malu berbogel.
Video berdurasi lima minit itu menampilkan aktiviti pantai di antaranya melukis badan, lari berganti-ganti dan berjalan seperti ketam. 
Kumpulan ini ingin membawa mesej bahawa kini kebebasan mutlak telah tercapai di Pulau Pinang khasnya di bawah pemerintahan DAP. Mungkin mereka juga terlalu yakin di PP tidak ada agama atau pihak berkuasa yang dapat menyekat kebesasan mereka.
Apapun rakyat di negara ini bernasib baik kerana media sosial berjaya menyelamatkan akhlak yang buruk kumpulan ini dan disekat awal. Jika tidak ia akan menular menjadi acara tahunan, Pesta Sukan Bogel Pulau Pinang 2015, 2016, 2017 dan seterusnya sehingga menjelang PRU ke 14.
Di Selangor pula baru kini MB nya Khalid Ibrahim percaya dan tidak syak lagi bahawa idolanya memang benar bertelanjang seperti di dalam video yang didedahkan oleh Datuk T.
Di Kedah pula ranjang yang berharga RM16,000 belum tentu menjamin nyenyaknya tidur dan indahnya mimpi seorang yang bernama wakil rakyat.

Saturday, July 26, 2014

MUKHRIZ DAN KJ

Semalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Kedah (PERKASA) telah mengadakan perarakan besar demonstrasi mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin. Ribuan yang hadzir telah mengadakan demontrasi aman di hadapan Mesjid Zahir bagi menyokong Gaza dan mengecam kekejaman Israel.
PERKASA Kedah nampaknya tidak luntur dan masih kekal momentum perjuangannya. Sejak dari awal gerakan menakluk negeri Kedah dari tangan PKR sehingga kini terbukti mereka masih konsisten dan tidak berganjak. Mereka lebih prihatin, sensitif dan mendahului khasnya isu-isu yang bersabit dengan hak Melayu, Raja-Raja dan agama Islam. Ini yang UMNO Kedah gagal dan kelihatan masih lagi tidak berubah. 
Seharusnya UMNO Kedah melalui kepimpinan pengerusinya Mukhriz Mahathir bijak menunjang isu-isu global seperti ini tetapi ternyata pancaindera mereka kematu untuk menjadi ‘champion’ di dalam perjuangan ini. Malah Mukhriz sendiri hanya turun sekejap kerana kesibukan dan kalut dengan jadual yang diatur oleh orang-orang sekelilingnya. 

Ini berlainan dengan pendekatan Khairy Jamaludin yang bijak mengambil kesempatan apabila beliau menyertai demonstrasi mengutuk kekejaman Israel ke atas Palestin ketika berada di UK baru-baru ini. KJ sempat singgah di London ketika dalam perjalanan ke Glasgow, Scotland bagi menyertai kontinjen negara di temasya Sukan Komanwel 2014. Di atas kapasiti Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah bersama-sama masyarakat di sana dalam satu himpunan yang besar dan beliau telah ‘share’ dalam FBnya dengan generasi media sosial di tanah air. 
Akhir-akhir ini terdapat beberapa komen pemerhati menyatakan Mukhriz masih ‘lost’ dan tidak terbukti kewibawaan mengemudi UMNO Kedah yang masih simpang kelewang. Ini bakal menghanyutkan bahtera politik Mukhriz dilambung gelombang jauh berbanding dengan KJ yang sentiasa kelihatan konsisten, bijak dan terancang.
Difahamkan ramai soldadu-soldadu tegar yang menaikkan beliau semasa meragas tangga politik di Kedah dahulu kini telah lari, kecewa dan membawa haluan masing-masing. Mereka meluat kerana orang-orang baru sekeliling Mukhriz telah membina tembok besar sehingga mereka terpaksa melalui saringan yang ketat, padad dan sendad. Mereka ini sebenarnya tidak faham adalah kebiasaan di dalam UMNO, "habis manis sepah dibuang". "Biasa la Bro..." kata seorang rakan.
Hakikatnya Mukhriz kelihatan bersungguh-sungguh bekerja di kampung untuk menghakis status elitisnya manakala KJ dilihat lebih global dan berketrampilan khasnya semasa mengiringi Obama ketika lawatan rasmi Presiden AS itu ke Malaysia baru-baru ini. 
Kegagalan percubaan pertama Mukhriz bertarung sebagai Naib Presiden UMNO yang lepas nampaknya tidak diambil sebagai iktibar dan tidak mustahil Mukhriz akan terus hanyut hilang dilambung gelombang badai politik UMNO yang ganas. Berbinkan Mahathir bukan jaminan lagi.

Tuesday, July 22, 2014

UPACARA PENYERAHAN 'BLACK BOX MH17' KEPADA WAKIL KERAJAAN MALAYSIA

Pendekatan diplomasi tinggi Kerajaan Malaysia memudahkan rundingan puak militant Ukraine menyerah kotak hitam kepada Kerajaan Malaysia. Walau bagaimanapun masih banyak yang tersirat dari yang tersurat.

Sunday, July 20, 2014

SAKSIKAN KEKUATAN BUK-M2 YANG MENEMBAK MH17.

Malaysia dirundung duka lagi. Kedukaan kehilangan pesawat MAS MH370 yang masih belum hilang kini ditambah lagi dengan kehancuran pesawat MAS MH17 yang ditembak junam dengan "BUK-M2 surface-to-air missile" oleh puak militant pemisah pro Russia berdekatan kampung Grabovo, timur Ukraine. 
Seramai 298 passengers yang tidak ada kena mengena dengan pergolakan di Ukraine telah terkorban. Jika MH370 hilang entah ke mana lautan, ghaib tanpa kesan serpihan waima sebiji sawi sekali pun. Kini MH17 pula ditembak hancur sehingga mayat-mayat bergelimpangan di udara seperti hujan menurut lapuran Reuters "Bodies Rained Down On Ukraine Village After Plane Disaster".
Untuk sedikit pengetahuan di bawah ialah video dari Youtube bagaimana fungsi dan kekuatan "BUK-M2 surface-to-air missile" yang telah menembak jatuh MH17 tanpa perikemanusiaan. 
 
END.


Wednesday, July 9, 2014

SIAPA CEMAR SIAPA? CUBAAN MENCEMAR EXCO ATAU EXCO TELAH MENCEMAR AMANAH RAKYAT?



Memang hampir tepatlah pendapat ramai rakan atas pagar yang mengatakan "orang UMNO" kalau dengar sahaja projek Kerajaan tak ubah seperti kucing lapar ikan. Teliurnya menitik sehingga ke dagu. Perebutan projek Kerajaan sesama orang UMNO sendiri sudah lumrah ianya ibarat perebutan sebiji bola oleh 22 pemain dalam gelanggang Piala Dunia.
Di dalam perebutan projek sesama sendiri  ini ada yang menggunakan kaedah tikam belakang, tikam depan, tikam rusuk kanan, tikam rusuk kiri, das kaki kanan, das kaki kiri, lompat tikam dan berbagai lagi malah yang lebih memalukan ada yang sanggup menarik londeh seluar sesama kawan. Apa juga cara diguna pakai untuk mencapai matlamat.
Semuanya hanya berpunca dari saling kejar mengejar projek-projek kerajaan baik yang kecil mahupun yang mega. Baik yang sekenit mahu pun yang gajah. Baik projek jangka pendek mahupun projek jangka panjang. 
Matlamat akhir kesemuanya ini adalah sebagai mengumpul sebanyak mungkin bekalan untuk menabur wang ketika bertarung dalam pemiilihan UMNO yang akan datang. Mereka percaya dengan wang itu kelak mereka mudah menyogok perwakilan dan membeli kuasa.  Dengan wang mereka kekal berkuasa sebagai Ketua Bahagian dan Wakil Rakyat (itu pun kalau mereka menang pilihanraya).
Blog ini yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat cuba menyuarakan rungutan kontraktor kecil yang periuk nasi mereka sedang dipasirkan maka ada pula penulis yang cuba membela dan konon ada cubaan mencemar imej exco.
Jika diteliti  tulisan di atas ianya amat jelas lagi bersuluh telah membuktikan ada perebutan projek di antara sesama sendiri di dalam UMNO hari ini. ADUN dan Ahli Parlimen tidak ngam kerana berebut projek. Peruntukan projek Ahli Parlimen pun hendak digagau oleh ADUN. 
Kemelut ini berlaku hampir di majoriti di kawasan atau bahagian di dalam negeri kedah di mana Wakil Rakyat  tidak memegang jawatan Ketua Bahagian. Sehinggakan Pegawai Daerah di daerah tersebut pusing kepala. 
Terdapat juga  punca ini berlaku akibat dari desakan kuncu-kuncu dan opportunis yang dulu telah melabur ribuan ringgit dengan memenangkan Si Polan bin Si Polan sebagai Ketua Bahagian dan hari ini mereka menagih kembali hutang mereka yang mereka rasa patut dibayar balik.
Persoalannya bagaimana kah kesudahan semua episod ini? Ke mana kah hala tuju politik BN dan UMNO di Kedah hari ini? Di mana slogan rasuah sifar seperti yang dilaungkan MB, Mukhriz Tun Mahathir? Sedar kah mereka? mereka baru sahaja celik menjadi pemerintah kini sudah nampak belang apabila berlaku perebutan projek kerana mahu cepat kaya.
Bagaimana perasaan rakyat yang memilih mereka dahulu? Akan kekalkah rakyat menyokong BN/ UMNO jika begini lah kelaku dan perangai yang jelas penuh keserakahan.
Memang tepat seperti kata pepatah Melayu “Mati semut kerana gula” dan “Mati UMNO Kerana Harta”. 
"Harta Yang Ada Sekangkang Kera, Menjadi  Rebutan Bagai Nak Gila, Kelak Tergadai Hilang Kuasa, Mata Terbeliak Lari Cempera. Jangan Dok Cari Salah Siapa, Kerana Diri Ampunya Angkara"

Tuesday, July 1, 2014

KONTRAKTOR G1 DAN G2 (KELAS F) DI KEDAH MENGAMUK

Rahsia bukan rahsia lagi apabila setiap kedai nasi kandar dalam daerah di Negeri Kedah sudah kedengaran suara-suara bahawa sedang ada satu gerakan mengumpul tanda tangan tanda protes di kalangan usahawan kontraktor kelas marhaen G1 dan G2 terhadap seorang ahli exco Kerajaan Negeri Kedah.
Protes ini  membengkak terhadap exco ini kerana beliau dikatakan telah meraup @ pondoi kesemua pojek-projek kecil hak kontraktor G1 dan G2 dan mengumpulkan menjadikan satu projek besar yang bernilai jutaan ringgit dan projek itu sebaliknya telah dianugerahkan kepada sebuah kontraktor besar kepunyaan exco tersebut. 
Pemerhati difahamkan kontraktor-kontraktor kecil dari setiap daerah seluruh negeri Kedah akan berarak berjumpa MB membawa surat petisyen sebagai tanda protes terhadap tindakan tamak exco tersebut dalam sedikit masa ini. 
Jika ini berlaku ia pasti akan mencalarkan integriti serta  kewibawaan kepimpinan Mukhriz Tun Mahathir sebagai MB di Kedah. Dan yang lebih parah lagi ia akan menjejaskan pengaruh Barisan Nasional di Kedah dalam PRU14 kelak dan ketika itu BN akan menangis tidak berlagu. 
Yang sudah pasti setiap kontraktor kecil paling sedikit terdiri dari 20 periuk nasi di bawah mereka sudah pasti tidak akan mengudi BN. 
Mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk bangun protes atas alasan periuk nasi mereka dan keluarga mereka telah disamun secara terang-terangan oleh kroni exco ini. 
Mukhriz sudah pasti akan membuat keputusan yang bijak samada mahu menjaga seorang penyamun atau menjaga ribuan periuk nasi kontraktor marhaen yang sedang kelaparan projek.
Semoga dengan kelembutan Mukhriz isu ini dapat di atasi.