Friday, October 17, 2008

Mengapa DAP tentang pembelian Cougar?


Eurocopter EC725 Cougar ganti Nuri
Oleh Nik Sukry

Kemudahan canggih tingkat keyakinan ramai terhadap pesawat milik ATMAKHIRNYA teka-teki pemilihan helikopter yang bakal menggantikan Sikorsky S61-A Sea King yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1968 terjawab selepas Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan sedang meneliti beberapa syarat sebelum menandatangani surat hasrat (LOI) secara rasmi dengan syarikat dari Eropah, Eurocopter, 26 September lalu. Cadangan penukaran helikopter yang lebih dikenali sebagai Nuri itu dibuat Kabinet 18 Julai tahun lalu selepas penilaian dilakukan kerajaan, yang terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM86.9 juta akibat 15 nahas membabitkan 70 anggota dan pegawai tentera selain 19 kematian sejak penggunaan Nuri, 40 tahun lalu.

Suka atau tidak, satu perkara yang tidak dapat dinafikan, berita ini pastinya memberi kelegaan kepada ramai pihak. Lebih-lebih lagi, keluarga mereka yang terbabit kemalangan dan terkorban akibat Nuri. Ramai mengakui terlalu banyak jasa Nuri. Bukan saja dalam aspek ketenteraan dan keselamatan serta ketenteraman awam, bakti Nuri melangkaui segala-galanya. Malah, antara kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Nuri sejak digunakan paling banyak berjasa kepada negara, termasuk ketika menghadapi darurat. Penerbangan ihsan membawa pesakit tenat, jenazah, juga sudah pasti menjadi satu jasa yang tidak akan dilupakan khususnya oleh mereka yang menerima bakti itu. Namun, `usianya’ yang lanjut, membuatkan ia tidak lagi cekap dan selamat. Kemalangan demi kemalangan berlaku yang bukan saja merugikan wang kerajaan, malah membuat ramai kehilangan insan tersayang.

Tender terbuka antarabangsa penggantian helikopter itu dibida enam syarikat pengeluar helikopter, antaranya Eurocopter dengan EC-725 Cougar; AgustaWestland (AW101); Boeing (CH-47F); Sikorsky (H-92 Superhawk); Rosoboronexport State Corporation Russia (Mi-17V-5) dan konsortium terdiri daripada Ke lowna Flightcraft Canada, Kazan Helicopter Plant Russia, BAE Systems dan SELEX Sensors and Airborne Systems menawarkan Mi-172KF. Bagaimanapun, 23 April lalu empat model helikopter yang ditawarkan dalam bidaan itu disenarai pendek untuk penelitian peringkat akhir Kementerian Pertahanan dan akhirnya, helikopter keluaran syarikat Eurocopter, Eurocopter EC725 Cougar dilihat paling sesuai untuk membantu tugasan yang selama ini dipikul Nuri. Eurocopter EC725 Cougar yang dibangunkan dalam keluarga besar Super Puma menggunakan teknologi Perancis digerakkan menggunakan dua enjin Turbomeca Makila 1A4. Jentera ini yang mampu mencapai kelajuan maksimum 324 kilometer per jam (km/j) dan sering digunakan sebagai pesawat pengangkut serta tugas mencari dan menyelamat tepat untuk memenuhi aspirasi TUDM dan ATM menjadikan sistem pertahanan negara lebih efisien dan kompetitif.

Selain itu, EC725 Cougar dilengkapi sistem radar pengesan dan Forward Looking Infra Red (FLIR) menjadikannya sebuah pesawat pelbagai guna terbaik bagi menjalankan penugasan operasi siang atau malam. Helikopter ini mampu membawa 29 anak kapal bersama dua krew pengendali. Panjangnya 19.5 meter, tinggi 4.6 meter dan menggunakan lima bilah kipas utama berdiameter 16.2 meter. EC725 juga mampu membawa persenjataan tembakan sisi seperti dua laras 7.62 milimeter (mm) mesin gun pelbagai guna, sebuah meriam 20 mm serta boleh dipasang dua pelancar roket 68mm untuk tujuan pertahanan. Helikopter ini juga memiliki sistem elektronik peperangan, termasuk sebuah radar penerima amaran, penerima amaran laser dan pemberi amaran pelancaran misil menjadikannya sebuah jentera lengkap untuk tugasan tambahan bagi menyerang hendap musuh.

Rekod penggunaannya sebelum ini juga boleh dibanggakan dan pernah digunakan dalam peperangan di Afghanistan (2007) dan operasi menyelamat di Lubnan pada 2006. Isnin lalu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengumumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membeli kumpulan pertama lapan hingga 10 EC725 bagi menggantikan Nuri secara berperingkat. Secara keseluruhan, TUDM memerlukan 27 unit helikopter baru bagi menggantikan Nuri. “Model EC725 memiliki ciri diperlukan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta utiliti,” katanya sambil menegaskan khidmat Nuri tidak dihentikan serta-merta kerana masih selamat beroperasi. Inilah yang diharapkan. Dengan kecanggihan dan segala sistem yang serba moden, EC725 mampu meningkatkan semula keyakinan ramai pada pesawat milik ATM.

Namun, apa yang lebih penting, menjadi harapan EC725 mampu menggalas tugas lebih baik daripada Nuri, paling tidak pun setanding pesawat ini.

2 comments:

  1. Negara tetap beli helikopter EC-725 Cougar

    Oleh Hardi Effendi Yaacob
    hardi@bharian.com.my

    Meterai perjanjian di Lima 2009

    KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia meneruskan semula pembelian helikopter EC-725 Cougar buatan firma Perancis, Eurocopter selepas hampir dua tahun ditangguhkan akibat kekangan ekonomi.

    Sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, satu perjanjian akan ditandatangani berhubung pembelian pesawat itu sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2009 (Lima 2009), Disember ini.



    Katanya, pembelian akan dilakukan secara berperingkat membabitkan tempahan lapan hingga 10 unit, dengan penghantarannya akan dibuat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun depan.

    "Ia bagi menggantikan Sikorsky S61-A4 Sea King atau Nuri yang sudah terlalu lama digunakan dan semakin uzur. Sepatutnya rancangan ini dilaksanakan tiga tahun lalu tetapi ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

    "Namun, kerajaan membuat keputusan menyambung semula pembelian EC-725 Cougar selepas mendapati ia menepati keperluan semasa, terutama untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya kepada Berita Harian.


    Pesawat Nuri mula digunakan di Malaysia pada 1968, yang pada peringkat awalnya berperanan memberi bantuan logistik kepada Tentera Darat sebelum diperluaskan untuk operasi mencari dan menyelamat, selain bantuan kemanusiaan.

    Bagaimanapun, hanya 30 pesawat itu masih beroperasi setakat ini, dengan 28 daripadanya digunakan untuk tujuan pelbagai guna dan dua untuk tujuan tata rajah komunikasi.

    Sejak memulakan operasinya 40 tahun lalu, 18 nahas pesawat itu direkodkan membabitkan 95 kematian, dengan kejadian terbaru pada 13 Julai 2007 mengorbankan dua juruterbang dan empat anak kapal.

    Berikutan itu, kerajaan membuat keputusan menggantikan pesawat berkenaan yang mendapat jolokan 'Keranda Terbang' dengan pesawat lebih moden termasuk Super Puma, MI-17 dan EC-725 Cougar.

    Bagaimanapun, rancangan itu terpaksa ditangguhkan atas alasan kegawatan ekonomi dan ada perbelanjaan lain yang perlu diutamakan.

    Sementara itu, sumber memberitahu pesawat berkenaan dijadualkan diterima secara berperingkat menjelang akhir tahun ini dan akan digunakan secara optimum untuk tujuan kombat, selain operasi mencari dan menyelamat (C-SAR).

    Katanya, selepas meneliti beberapa model helikopter, kerajaan mendapati EC-725 Cougar paling sesuai digunakan pasukan tentera negara ini, bukan sekadar sebagai pesawat pengangkut tetapi untuk tujuan C-SAR.

    "Pembelian helikopter termoden dalam sirinya ini turut menepati misi kerajaan memodenkan aset pertahanan negara, sekali gus meningkatkan pencapaian ATM sebagai sebuah ketumbukan tentera disegani di peringkat serantau," katanya.

    ReplyDelete
  2. sepatutnya kerajaan jangan hiraukan dengan cina perak ini sebab yg bawa heli ini adalah anak melayu,jangan pertikai sekiranya keperluan ini mendesak

    ReplyDelete

Bloggers adalah mereka yang digolongkan berakal, waras, bijak dan berilmu serta dikira mempunyai peradaban yang tinggi. Elak dari bahasa-bahasa lucah atau yang tidak bersopan.
Sesungguhnya yang ampunya blog tidak akan bersubahat, bertanggung jawab dan menafikan segala bahan-bahan tersebut.